Politik

Dakwaan bekas Pengerusi Majlis Penasihat kerajaan PH PAS akan menang banyak kerusi tidak berasas

PADA 11 Julai 2022 politik Malaysia dikejutkan dengan kenyataan bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Tun Daim Zainudin dengan laporan akhbar yang menyatakan mengenai parti PAS bakal memperolehi lebih banyak kerusi pada Pilihanraya Umum ke 15 (PRU15).

Persoalannya adakah benar PAS akan memenangi kerusi yang banyak dalam PRU akan datang? Adakah ini merupakan pandangan seorang yang memiliki pengalaman yang luas dalam politik tidak menganalisa fakta dan perkembangan kemampuan parti-parti politik dengan mendalam?

Di sini terdapat pelbagai kelemahan terhadap pendapat Tun Daim mengenai kemampuan Parti PAS. Pertama adalah ketika PRU14 “mood rakyat” di seluruh negara adalah menolak UMNO dan BN yang sedang lemah akibat daripada termakan fitnah dan janji manis serta penglibatan Tun Mahathir Mohamad dalam gerakan PH serta penglibatan pemimpin UMNO dan BN yang pro kepada Tun M. Ketika PRU14, UMNO dan BN lemah dan sepatutnya PAS menjadi pilihan kepada pengundi, namun rakyat tidak memilih PAS sebagai galang ganti sebaliknya rakyat memilih PH. Buat pertama kali semenjak tahun 1957 sehingga tahun 2018 PAS bertanding melebihi 90 kerusi iaitu dengan jumlah 158 kerusi dan kalah 140 kerusi (88.8%) kalah dalam PRU14.

Malah senario peratusan kekalahan dihadapi oleh PAS adalah semenjak PRU11 dengan 92%, PRU 12 dengan 65% PRU 13 dengan 71% dan PRU14 adalah 88.8% kalah. Mengapa pengundi tidak memilih PAS ketika UMNO dan BN sedang lemah dan ditolak rakyat pada tahun 2018? Ini bermaksud PAS bukan pilihan rakyat dan sekiranya dilihat dalam pelaburan ia menunjukan pelaburan yang merugikan.

Kedua adalah kerana daripada lapan Pilihanraya Kecil (PRK) selepas Januari 2019 sehingga Ogos 2020 terdapat 8 PRK iaitu Cameron Highlands (Jan 2019), Semenyih (Mac 2019), Rantau (April 2019), Sandakan (Mei 2019), Tanjong Piai (Nov 2019), Kimanis (Jan 2020), Chini (Julai 2020) dan Slim (Ogos 2020) semuanya di menangi oleh UMNO dan BN kecuali PRK.

Ketiga adalah kemampuan dan mood rakyat menyokong PAS dalam Pilihanraya Negeri (PRN) iaitu Sabah pada September 2020 dan pada awalnya PAS melalui Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan pada 7 September 2020 menyatakan untuk bertanding sekurang-kurang 10 daripada 73 kerusi dan Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pada 31 Ogos 2020 menyatakan untuk mengumumkan calon PAS dalam PRN Sabah. Namun PAS mengambil tindakan untuk tidak bertanding dalam PRN Sabah pada September 2020. Ini bermaksud PAS sendiri menyedari mengenai kemampuan PAS di Sabah yang tidak akan menjadi pilihan rakyat dalam PRN Sabah.

Dalam PRN Melaka yang dijalankan pada November 2021, PAS telah mengambil keputusan untuk meletakkan lapan orang calon dalam PRN Melaka yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) namun kalah di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bertanding. Ini bermaksud PAS bukan pilihan rakyat. Manakala dalam PRN Johor pada Mac 2022, PAS telah meletakan calon sebanyak 15 orang setelah menolak tawaran UMNO dan BN sebanyak empat kerusi yang boleh menang. Namun keputusan PRN Johor pada 12 Mac 2022 yang diperolehi adalah PAS kalah 14 daripada 15 dan hanya DUN Maharani dimenangi calon PAS Abdul Aziz Talib. Ini bermaksud PAS bukan pilihan rakyat.

Ke empat adalah ahli dan cawangan PAS sendiri tidak menunjukan minat rakyat untuk memilih PAS. Setiausaha Agung PAS menjelaskan berlaku penurunan daripada 897,800 orang ahli pada tahun 2017 kepada 818,029 orang ahli dan 7,140 cawangan di seluruh negara pada September 2018 sedangkan angka yang diwar-warkan adalah melebihi 1 juta ahli. Penurunan ahli PAS juga turut dicatatkan pada September 2020 berjumlah 806,159 orang ahli yang kononnya “yang aktif”. Senario penurunan ini telah menunjukan ketidaksediaan rakyat untuk menjadi ahli PAS dan angka ini dijangka mencatatkan penurunan sekiranya dilakukan bancian pada tahun 2022.

Malah sekiranya dilihat dari segi jumlah ahli parti UMNO memiliki jumlah 3,391,236 orang ahli dengan 22,274 cawangan dari 191 Bahagian di seluruh negara sehingga 15 Mac 2022. Mengapa rakyat lebih bersedia memilih untuk menjadi ahli UMNO daripada PAS?
Senario ini menunjukan PAS bukan pilihan rakyat, namun mengapa bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan PH menyatakan mengenai PAS akan menang banyak kerusi? Adakah maklumat-maklumat dan senario yang dinyatakan di atas tidak disedari? atau memiliki objektif tersembunyi?

Kenyataan bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan PH ini diyakini memiliki objektif lain iaitu mencetuskan idea agar parti-parti lain agar bergabung atau membentuk blok baru dengan Parti Pejuang. Malah pendapat ini juga adalah kerana beliau salah seorang yang menjadi rujukan kerajaan PH dalam Majlis Penasihat Kerajaan PH selain Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Hassan Merican, Tan Sri Robert Kuok dan Prof Dr Jomo Kwame Sundaram yang ditubuhkan pada tahun 2018. – SM

Ditulis oleh :

Nor Halmey Hamdah
Pelajar Pengajian PHD
Pusat Pengajian Antarabangsa,
Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa
Universiti Utara Malaysia

(Visited 331 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button