Saya tak maki ‘frontliner’, netizen salah faham – Adi Putra
BARU-BARU ini pelakon, Datuk Adi Putra melahirkan rasa kekecewaannya di laman sosial selepas lokasinya mengambil suntikan vaksin AstraZeneca ditukar dari Kuala Lumpur ke Pengkalang Kubor, Kelantan.
Di dalam status tersebut, Adi turut menulis perkataan ‘bodoh’ sebelum meletak akaun media sosial Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Perkara itu ternyata mengundang kecaman daripada netizen yang menganggap Adi seperti tidak hormat kepada barisan ‘frontliner’.
Namun, Adi memberitahu yang netizen sebenarnya telah tersalah tafsir tindakannya itu.
“Sebenarnya saya tidak mengeluarkan perkataan ‘bodoh’ itu kepada petugas kesihatan sebaliknya terhadap aplikasi MySejahtera.
“Ramai yang tidak tahu sebenarnya aplikasi itu diuruskan oleh pihak ketiga dan saya rasa marah dengan pihak yang menguruskan aplikasi tersebut.
“Berkenaan akaun rasmi media sosial KKM, saya cuma letakkan supaya pihak berkenaan ambil maklum sahaja,” katanya kepada Suara Merdeka hari ini.
Menurut Adi, dia bersuara berkenaan kesilapan itu kerana risau jika ada yang mendaftar tetapi tidak mendapat suntikan pada tarikh yang sepatutnya.
Ujarnya, dia tidak mahu golongan sasar yang sepatutnya mendapat vaksin boleh terlepas jika perkara seperti ini berlaku.
Dalam pada itu, Adi turut memberitahu yang dia tidak terasa hati dengan kecaman netizen kerana beranggapan mereka telah telah tersalah sangka.
“Saya tidak berkecil hati dengan kecaman netizen. Saya maafkan mereka kerana terkeliru dengan apa yang cuba saya sampaikan,” katanya.
Adi bakal mengambil suntikan vaksin AstraZeneca yang dijadualkan pada 16 Mei depan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. -SM