Politik

Saya masih menteri besar – Mukhriz

DATUK Seri Mukhriz Mahathir berkata beliau masih Menteri Besar Kedah dan menafikan kerajaan negeri pimpinannya sudah jatuh.

Mukhriz berkata pada masa ini suasana politik di Kedah masih terkawal dan pihaknya masih menjalankan tugas-tugas pentadbiran seperti biasa termasuk mengadakan Mesyuarat Exco.

“Saya masih lagi Menteri Besar dan kerajaan negeri masih wujud dan tidak benar dakwaan bahawa kerajaan ini sudah jatuh,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Ketua Pembangkang DUN Kedah Muhammad Sanusi Md Nor semalam, yang mendakwa kononnya seramai 23 daripada 36 ADUN sudah hilang kepercayaan terhadap Mukhriz sebagai Menteri Besar.

Mukhriz berkata jika ada pihak yang sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya, masih banyak proses yang perlu dilaksanakan termasuk yang melibatkan perkenan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, sebelum berlakunya peralihan kuasa kerajaan negeri.

Mukhriz berkata, pada mesyuarat hari ini juga barisan exco kerajaan negeri sudah memutuskan untuk mengesyorkan kepada Sultan Kedah supaya usul undi tidak percaya terhadap menteri besar dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Cara itu lebih terbuka, pihak pembangkang boleh usulkan undi tidak percaya terhadap menteri besar atau pihak kerajaan usulkan undi percaya dan jika di pihak pembangkang jumlah (undi tidak percaya) mencukupi maka hilanglah majoriti bagi kerajaan.

“Dalam sehari dua lagi cadangan (bawa usul ke DUN) ini akan dikemukakan kepada Tuanku Sultan kerana saya perlu mandat daripada exco untuk sampaikan hasrat ini dan terpulanglah kepada baginda untuk tentukan nanti,” katanya.

Dalam sidang media khas semalam, Muhammad Sanusi mendakwa empat ADUN Bersatu yang menyatakan telah hilang kepercayaan terhadap Mukhriz ialah Juhari Bulat (Ayer Hangat), Mohd Firdaus Ahmad (Kuah), Halimaton Saadiah Saad (Bukit Kayu Hitam) dan Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak).

Tiga daripada mereka yang merupakan exco kerajaan negeri, tidak hadir pada mesyuarat hari ini. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button