Politik

Sanggupkah UMNO beri laluan kepada Ismail Sabri sebagai Presiden?

SEPERTI dijangka sokongan terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri bagi UMNO untuk pilihan raya umum akan datang, mencurah-curah.

Selepas pengumuman dibuat semalam, para pemimpin UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) terus menyatakan sokongan.

Cuma pada masa ini keadaan agak janggal kerana Ismail Sabri hanya memegang jawatan Naib Presiden di dalam parti. Dalam banyak keadaan keputusan dibuat oleh parti sukar dilaksana oleh beliau yang memegang kerajaan.

Ini adalah kerana pada masa ini parti UMNO bukan lagi menguasai kerajaan dan ia terbentuk daripada ihsan beberapa buah parti yang bersetuju berkongsi kuasa dan pada masa yang sama Ismail Sabri tidak berada dalam posisi menentukan hala tuju partinya sendiri.

Ismail Sabri perlu sentiasa berhati-hati dalam membuat keputusan supaya tidak menyinggung pemimpin tertinggi partinya dan pada masa yang sama perlu menjaga rakan sekutu di dalam kerajaan.

Jika pilihan raya umum diadakan paling cepat pada Oktober ini, dan jika BN menang perkara itu perlu diperbetulkan supaya pentadbiran negara dan parti lebih licin.

Persoalannya apakah UMNO terutama pemimpin utamanya bersedia untuk memberi laluan kepada Ismail Sabri memenangi kerusi Presiden tanpa bertanding.

UMNO dijangka mengadakan mesyuarat khas bagi meminda tarikh pemilihan parti yang sepatutnya berlangsung pada Disember akan datang.

Kemungkinan besar pemilihan parti akan diadakan selepas enam bulan pilihan raya.

Namun jika diteliti kepada kenyataan MKT UMNO semalam, ia hanya menyatakan mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri dan macam-macam masih boleh berlaku.

Lihat sahaja senario politik di Johor nama lain dicadangkan sebagai menteri besar, orang lain yang mengangkat sumpah atas pelbagai alasan.

Bak kata pepatah moden; Lain MB diorder, lain MB yang dapat. (MB bermaksud Menteri Besar dan bukan Mary Brown).

Diharapkan Ismail Sabri dan pasukannya tidak terlalu terbawa-bawa dengan janji manis mu itu, tetapi meneruskan kerja terbaik yang diberikan kepada rakyat pada masa ini.

Kerja beliau bukan sahaja menentukan sokongan rakyat kepada partinya, tetapi juga mencerahkan lagi peluang beliau untuk kekal menjawat jawatan tertinggi negara.

(Visited 537 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button