Nasional

Kerajaan Sediakan Bantuan Geran Penubuhan Koperasi Berjumlah RM400,000

Pertumbuhan gerakan koperasi dalam sektor peruncitan wajar diberi penekanan yang penting dalam pembangunan ekonomi negara.

Ujar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pendekatan Coopmart yang menjurus kepada pendigitalan, kelestarian dan pertumbuhan inklusif dijangka dapat mewujudkan satu garis panduan kepada koperasi sedia ada atau baharu yang ingin menceburi dalam bidang peruncitan.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat khususnya KUSKOP termasuk agensi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Kementerian Wilayah Persekutuan yang berganding bahu melaksanakan Inisiatif Sinergi Keluarga Malaysia melalui penubuhan Coopmart di Presint 17, Pudina Putrajaya.

“Suka saya maklumkan bahawa Kerajaan di bawah Program Coop Community Mart telah memperuntukkan sejumlah RM360,000 kepada dua koperasi di kawasan Perumahan Rakyat, di mana koperasi Pudina 7 Putrajaya Berhad merupakan salah satu penerima manfaat,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Coopmart Dan Perasmian Coop Community Mart Koperasi Pudina Putrajaya Berhad di Putrajaya, hari ini.

Program ini juga akan diteruskan di kawasan Perumahan Rakyat Hiliran Ampang bagi membangunkan Coopmart.

“Selain itu, Kerajaan juga menyediakan bantuan geran penubuhan koperasi berjumlah RM400,000 dan bantuan Pemetaan Rantaian Bekalan (MOSC) di bawah Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi COVID-19 KUSKOP sebanyak RM1.12 juta kepada Federasi Koperasi Pemborongan dan Peruncitan Berhad.

“Skop bantuan ini adalah di bawah inisiatif pendigitalan bertujuan membiayai kos pembangunan Sistem Pengurusan Sektor Pemborongan dan Peruncitan Koperasi terhadap 24 buah pusat pengedaran koperasi
termasuk perkakasan, perisian serta kerja-kerja perkhidmatan,” katanya.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri berharap peruntukan dan bantuan berterusan yang disalurkan oleh Kerajaan dapat membangunkan sektor koperasi yang memberi manfaat besar kepada Keluarga Malaysia.

(Visited 913 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button