Sanggup menyamar jadi Asisten Komisioner Polis semata-mata nak rentas negeri
SEORANG lelaki ditahan kerana menyamar sebagai seorang pegawai kanan polis berpangkat Datuk semata-mata untuk mendapatkan kelulusan permit rentas negeri.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lelaki berusia 65 tahun hadir ke balai polis Petaling Jaya kira-kira pukul 9 malam.
“Suspek telah menunjukkan gambar dirinya berpakaian uniform lengkap pada skrin telefon bimbit dan mengaku sebagai pegawai kanan polis berpangkat Asisten Komisioner.
“Namun, suspek tidak menujukkan sebarang bukti yang memaparkan dirinya sebagai pegawai kanan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad Fakhrudin, suspek juga mengaku sebagai seorang yang berpangkat Datuk.
Ujarnya, anggota di balai juga telah meminta suspek mengemukakan sebarang dokumen yang menunjukkan dirinya adalah seorang pegawai polis kanan.
“Suspek bagaimanapun ditahan kerana gagal mempamerkan sebarang kad identiti dan kad kuasa serta menyamar sebagai seorang penjawat awam.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam,” katanya. -SM