fbpx
Negeri

Sampai bila negeri, anak-anak Johor dianaktirikan?

TUNKU Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempersoalkan sehingga bila negeri Johor dan anak-anak negeri tersebut akan dianaktirikan.

Jelas Tunku Ismail, sudah empat tahun baginda bersama, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan  Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menyatakan keperluan untuk membina hospital baharu dan menaiktaraf hospital sedia ada.

Menurut Tunku Ismail, ketidakadilan terhadap Johor juga boleh dilihat melalui keadaan lebuhraya ke negeri tersebut yang hanya mempunyai dua laluan sahaja berbanding ke Melaka dan Negeri Sembilan.

“Kebawah Duli Tuanku Sultan, Tuanku Permaisuri dan termasuklah saya sendiri menyatakan keperluan untuk membina hospital yang baharu dan menaiktaraf hospital yang sedia ada di negeri Johor. Sampai bila negeri Johor dan anak-anak Johor dianaktirikan?

“Kita bukan sahaja boleh melihat daripada sudut keperluan hospital, tetapi lihat pada keadaan lebuhraya di sini sahaja kita sudah tahu negeri Johor dianaktirikan.


“Bayangkan, negeri Johor yang maju, yang banyak memberi sumbangan kepada ekonomi negara dan Kerajaan Persekutuan hanya ada dua ‘lane’ sahaja di lebuhraya berbanding dengan Melaka dan Negeri Sembilan yang tidak menyumbang seberapa banyak,” kata Tunku Ismail.

Justeru baginda menyeru kepada Kerajaan Persekutuan agar mempercepatkan peningkatan kemudahan awam di negeri Johor demi rakyat negeri itu.

Hari ini  Wad Perubatan Perempuan Hospital Sultanah Aminah (HSA) terbakar lagi kira-kira pukul 3 petang tadi.

Ketika kejadian 52 pesakit berada dalam Kompleks Wad Perubatan Perempuan. Daripada jumlah itu 24 pesakit berada dalam wad yang terbakar diselamatkan oleh Pasukan Tindakan Pantas (Emergency Respon Team).

Pada Oktober 2016, berlaku kebakaran besar di Wad Rawatan Rapi (ICU) HSA sehingga mengorbankan enam nyawa.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button