fbpx
Nasional

Seni dan Kraf mampu jana pendapatan lumayan – Raja Muda Perlis

HASIL gabungan seni dan kerja kraftangan mempunyai potensi untuk menjana pulangan pendapatan lumayan.

Selain menjana peluang pendapatan, usaha seni dan kraftangan juga dapat mempertahankan kesenian budaya bangsa seperti kata pepatah, “Tak lapuk dek hujan, Tak lekang dek panas”.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyaksikan penyempurnaan penyampaian sumbangan bantuan peralatan mesin pemotong kayu daripada Yayasan Kebajikan Perlis (YKPs) kepada bengkel usahawan asnaf MAIPs ‘SBS Karya Kraf’ di alamat 46C Jalan Bintong (Kg Nesam – Kg Padang Kota), Mukim Kurong Batang, Kangar semalam.

Keberangkatan Tuanku Syed Faizuddin Putra adalah bersempena dengan program kayuhan berbasikal ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf Kali ke-26 bagi tahun 2020’ sejauh 26km yang bermula di Rumah Anak Yatim Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Mak Teh Kangar.


Penyerahan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YKPs, Affendi Rajini Kanth kepada pemilik bengkel berkenaan Shahabuddin bin Sabu, 53. Hadir sama, Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Unit Kutipan dan Agihan, Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, Syed Aisam Syed Idris Al-Habshee.

Shahabuddin, ketika ditemui melahirkan rasa gembira dan bangga apabila usaha beliau dalam mempertahankan kesenian warisan pertukangan kayu dan besi yang memberikan fokus kepada seni persenjataan melayu seperti keris, wali, parang dan sebagainya diiktiraf dengan keberangkatan kunjungan Tuanku Raja Muda Perlis.

“Setiap elemen dalam kesenian pertukangan Melayu amat signifikan dengan sosio budaya dan persekitaran mereka serta mempunyai perbezaan antara sesuatu kawasan dan lokaliti selain merupakan interpretasi daripada tukang itu sendiri,” jelas beliau.

Bagi yang berhasrat untuk membuat tempahan bolehlah menghubungi SBS Karya Kraf di talian 0139900949 atau melayari laman Facebook com/sbskaryakraf. Beliau membuat, menjual dan menerima tempahan produk kraf seperti pisau lapah, sembelih dan senjata tradisional. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button