Politik

Saman RM10 juta: Teruskan, cabar Zuraida kepada PKR

BEKAS Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin menyifatkan saman RM10 juta yang difailkan oleh PKR terhadapnya kerana keluar parti adalah tidak masuk akal.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Ampang itu mencabar PKR untuk meneruskan saman tersebut yang disifatkan sebagai membuang masa mahkamah.

“PKR nampaknya tidak menyedari bahawa dalam amalan demokrasi, wakil rakyat bebas untuk meninggalkan parti politik. Dalam hal ini saya dipecat.

“Pelajar undang-undang boleh jelaskan kepada kepimpinan PKR bahawa mahkamah tidak akan menguatkuasakan apa-apa perjanjian yang melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Mengenai saman yang tidak berfaedah terhadap saya ini, teruskan!” katanya,


Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meminta pimpinan PKR merujuk kepada keputusan Datuk Ong Kee Hui dan Nordin Salleh oleh Mahkamah Persekutuan serta Artikel 10 Perlembagaan.

“Saya meninggalkan PKR kerana parti itu tidak lagi menumpukan kepada rakyat, sebaliknya untuk mencapai cita-cita sebagai Perdana Menteri,” kata Zuraida.

Bendahari PKR, Lee Chean Chung dalam satu kenyataan berkata, parti itu telah memfailkan saman RM10 juta terhadap Zuraida kerana lompat parti.

Saman tersebut difailkan pada 28 September lalu, setelah PKR gagal mendapat sebarang jawapan surat tuntutan terhadap Zuraida pada 7 Ogos.

“Peguamcara parti telah berusaha menyampaikan surat-surat tujuan kepada Zuraida pada 30 September dan 1 Oktober lalu tetapi tidak dapat melakukannya.

“Peguamcara parti juga telah menulis surat pada 1 Oktober lalu kepadanya untuk melantik firma peguam cara untuk menerima perkhidmatan bagi pihaknya.

Zuraida bersama 11 ahli Parlimen lain didakwa meninggalkan PKR pada Februari lalu untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Mereka kemudian bekerjasama dengan BN dan Pas serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Kesemua ahli Parlimen PKR menandatangani perjanjian sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan bersetuju dengan syarat bahawa mereka akan dikenakan denda RM10 juta sekiranya melompat parti.

Chean Chung menjelaskan, dengan menandatangani perjanjian itu, Zuraida mengakui bahawa penggunaan logo dan simbol PKR bernilai RM10 juta, berdasarkan kos yang dikeluarkan oleh parti untuk mempromosikan logo tersebut.

“Zuraida telah bersetuju membayar sejumlah RM10 juta kepada Parti sekiranya dia mengundurkan diri daripada parti atau menyertai parti politik lain atau sebagai wakil Bebas.

“Selain Zuraida, PKR juga akan menuntut pembayaran di bawah Bon oleh 20 ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menang atas tiket parti tetapi mengundurkan diri untuk bergabung dengan parti politik lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

(Visited 89 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button