Sacom depani cabaran skeptikal produk bumiputera
SKEPTIKAL masyarakat khususnya terhadap produk keluaran bumiputera tidak dapat dinafikan terutama soal kemampuan menyaingi produk lain dalam pasaran.
Hal demikian menyebabkan sebahagian usahawan dalam sektor pembuatan seperti sabun dan sebagainya berhadapan cabaran dalam memulakan perniagaan.
Ini termasuklah membawa produk untuk meneroka pasaran tetapi berhadapan dengan bakal pengguna yang gemar membuat perbandingan.
Bagaimanapun, pilihan adalah ditangan pengguna. Itulah cabaran yang perlu dihadapi bersama strategi pemasaran yang betul.
“Cabaran, ketika diawal pengeluaran, orang agak skeptikal sebab produk bumiputera kalau kita hendak banding dengan produk yang lama berada di pasaran, kita ini sangat kecil.
“Apa yang kita boleh buat adalah, ambil kesempatan di atas kempen ‘Buy Muslim First’ (BMF) kemudian mula ada penerimaan.
“Alhamdulillah, apabila pengguna pakai, mereka memberi maklum balas yang baik, sabun Sacom sama taraf dengan produk lain yang ada di pasaran.
“Itu menyebabkan mereka berterusan membeli produk Sacom dan harga yang ditawarkan pula memang berpatutan.
“Dahulu waktu kita baharu mula, bulanan kita dalam 3,000 ke 4,000 keluaran. Waktu itu struggle sikit sebab orang tak kenal lagi.
“Kemudian bermulalah kita buat pemasaran dekat Facebook, Instagram. Sebelum itu cara pemasaran kita adalah bercerita dengan orang.
“Sekarang, Alhamdulillah, kita punya jualan sekarang sudah mencecah 30,000 sebulan setakat ini.”
Demikian kata Pengarah Projek Sacom, Amal Zainal, 36, menceritakan permulaan perniagaannya untuk mengembangkan penjualan sabun jenama Sacom.
Terdapat pelbagai produk jenama Sacom seperti sabun serbuk pencuci baju berkonsentrasi tinggi, cecair pencuci baju, pencuci lantai anti-bakteria, cecair pencuci pinggan dan sabun pencuci tangan.
Menurut beliau, jenama Sacom baharu meemasuki pasaran di negara ini pada 2018 yang sebelum itu pengeluaran produk sabun hanyalah secara kecil-kecilan.
Amal memberitahu, permulaan produk yang dikeluarkan oleh syarikat Helwangi, namun penjualannya adalah tanpa jenama dan pemasaran yang meluas.
“Bermulanya Sacom ini adalah pada dua tahun lepas di mana syarikat ini telah membuat satu produk sabun yang berkonsentrasi tinggi.
“Waktu itu belum ada jenama, cuma jual-jual di pasar-pasar kawasan setempat.
“Tahun lepas, saya baharu masuk syarikat ini dan saya lihat ada potensi untuk produk ini. Saya letak branding.
“Asalnya syarikat Helwangi ditubuhkan pada 1987 dan ketika itu kami membuat katering.
“Kemudian apabila lembaga pengarah memikirkan apakah perniagaan lain yang boleh dilakukan. Jadi, kami lantik ahli kimia untuk menghasilkan sabun,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menceritakan cetusan jenama Sacom diambil sempena nama datuknya, Sakom.
Selain wujud nilai komersial, jenama tersebut juga mencetuskan nilai sentimental dalam keluarganya.
“Sacom ini sebenarnya singkatan untuk ‘Sabun Commercial’ kemudian salah seorang ahli lembaga pengarah syarikat ini adalah Datuk Zainal Abidin Sakom.
“Nama datuk saya adalah Sakom, saya sudah cuba letak nama macam-macam sebenarnya. Tetapi nama Sacom nampaknya lebih sesuai,” selorohnya.
Tambah Amal, sabun Sacom kini boleh didapati pasar raya terpilih di seluruh negara termasuk pusat beli-belah Malakat Mall di Cyberjaya.
Malah pembelian secara dalam talian juga boleh dibuat dengan melayari Facebook Sacom_Malaysia. – SM