fbpx
Negeri

Kerajaan sedia bantu, galak usahawan muda ternak arnab

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan akan terus memberi galakan kepada usahawan muda untuk memperhebat penternakan arnab daging di negara ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, industri itu mempunyai potensi besar walaupun ia bukan komoditi utama negara.

“Sejak akhir-akhir ini, permintaan terhadap daging arnab semakin meningkat dan ia mampu menjadi alternatif kepada sumber protein selain lembu dan kambing.

“Penternakan arnab mempunyai pelbagai kelebihan termasuk pusingan ternakan yang singkat, kos operasi lebih rendah  dan memberi pulangan yang cepat dan lumayan,” katanya usai Majlis Ramah Mesra Sempena Seminar Potensi Industri Arnab Pedaging dan Fertigasi Moden Untuk Usahawan Muda di Peladang Setiu Agro Resort.

Beliau berkata, populasi terkini arnab di negara ini dianggarkan berjumlah 33,701 ekor meliputi arnab pedaging dan haiwan kesayangan.


“Pengeluaran daging arnab secara purata ialah sebanyak 1,000 kilogram (kg) sebulan dengan harga jualan RM35 sekilogram.

“Berat arnab biasanya antara 1kg  hingga 1.6kg seekor dan arnab sudah boleh disembelih pada umur 60 hingga 90 hari,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah  Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu, Dr. Mohd Termizi Ghazali berkata, pihaknya bersama-sama kerajaan negeri akan terus menyokong usaha kerajaan dalam memajukan industri itu menerusi pelaksanaan beberapa program khidmat nasihat serta menyediakan kursus penternakan.

“Setakat ini kami telah bantu  tiga penternak berpotensi melalui Skim Agropreneur Muda dengan menyediakan bantuan sokongan berbentuk kelengkapan penternakan, infrastruktur dan makanan ternakan berjumlah RM60,000.

“JPV juga memberi bantuan baka induk sebagai pengeluar baka selain merancang membina sebuah rumah sembelih arnab berstatus halal di daerah Kuala Nerus,” katanya.

Tambahnya, produk berasaskan daging arnab seperti burger, arnab perap, arnab bakar, sate arnab dan produk lain sentiasa mendapat permintaan tinggi. – SUMBER BERNAMA – SM

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button