Nasional

Rohana dilantik Presiden Mahkamah Rayuan wanita pertama negara

BADAN Kehakiman melakar sejarah sekali lagi apabila Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rohana Yusuf dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan yang baharu sekali gus wanita pertama memegang jawatan kedua tertinggi dalam Badan Kehakiman.

Pelantikan Rohana, 63, yang berasal dari Bachok, Kelantan itu berkuat kuasa hari ini.

Pada 2 Mei lepas, Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat merupakan wanita pertama dilantik memegang jawatan tertinggi dalam badan itu.

Sementara itu, tiga lagi hakim wanita Mahkamah Rayuan, Datuk Zaleha Yusof, 54, Datuk Zabariah Mohd Yusof, 60, dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim, 60, dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Ini menjadikan enam wanita memegang jawatan hakim mahkamah tertinggi negara ini daripada 13 hakim.

Terdahulu Rohana mengangkat sumpah jawatan dan taat setia di hadapan Hakim Kanan Mahkamah Rayuan Datuk Umi Kalthum Abdul Majid di Istana Kehakiman, petang ini manakala ketiga-tiga hakim Mahkamah Persekutuan baharu mengangkat sumpah di hadapan Tengku Maimun.

Turut dilantik hari ini sebagai Hakim Mahkamah Rayuan ialah Datuk Abu Bakar Jais dan Nantha Balan E.S. Moorthy yang kedua-duanya Hakim Mahkamah Tinggi.

Manakala dua Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Seri Tun Abd Majid Tun Hamzah dan Datuk Azmi Abdullah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi. Kesemua pelantikan mereka berkuat kuasa hari ini.

Rohana yang hadir bersama keluarganya memperoleh LLB (Hons) dari Universiti Malaya pada 1980 dan memulakan kerjaya dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan pada 1980 sebagai Penolong Penggubal, Undang-Undang (Parlimen) di Jabatan Peguam Negara.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 Sept 2005 dan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 17 April 2007.

Pada 8 Jan 2013 Rohana dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dan pada 27 April 2018 sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan. – BERNAMA

(Visited 93 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button