Mahkamah

Rogol dua anak kandung: Bapa dipenjara 428 tahun, 240 sebatan

Gara-gara nafsu serakah seorang bapa sehingga sanggup merogol dua anak kandungnya termasuk melakukan seks luar tabii, amang seksual fizikal dan mengugut ingin membunuh dan anak-anaknya
akhirnya berbalas.

Perbuatan terkutuk lelaki berusia 56 tahun yang tidak boleh dimaafkan itu menyebabkan Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini menjatuhi hukuman penjara 428 tahun dan 240 sebatan.

Hakim Nariman Badruddin memutuskan hukuman tersebut selepas mahkamah menerima pengakuan bersalah dibuat tertuduh ketika dihadapkan di mahkamah terhadap 28 pertuduhan pada prosiding semalam.

Lelaki yang mempunyai dua isteri itu bagaimanapun hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 45 tahun kerana hukuman berjalan secara berperingkat dan 24 sebatan kerana sebatan dibenarkan
sebanyak 24 kali mengikut peraturan penjara.

Berdasarkan 21 pertuduhan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan, tertuduh didakwa merogol kedua-dua anaknya kini berusia 19 dan 15 tahun secara berasingan, membabitkan 13 dan lapan kes.


Tertuduh yang bekerja sebagai penyelia syarikat pemegang pelaburan turut didakwa atas lima pertuduhan mengikut Seksyen 377CA KK iaitu melakukan seks dengan mangsa berusia 15 tahun dan berdepan hukuman penjara maksimum 30 tahun serta sebatan.

Selain itu, bapa lima anak itu turut berdepan satu pertuduhan lain mengikut Seksyen 377B Kanun sama kerana melakukan seks luar tabii terhadap mangsa sama serta satu lagi pertuduhan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 atas dakwaan melakukan amang seksual fizikal.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali manakala Seksyen 16 pula memperuntukkan penjara maksimum lima tahun dan sebat.

Kesemua kesalahan itu dilakukan antara 24 September 2015 hingga 5 September lalu bermula ketika kedua-dua mangsa mencecah usia 12 tahun di rumah mereka di Batu Berendam.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari yang menjalankan pendakwaan memohon hukuman berat dikenakan mengambil kira kenyataan impak mangsa (VIS) diberikan kedua-dua mangsa jelas
membuktikan mereka trauma sehingga takut untuk mendekati lelaki lain mahupun saudara mereka.

Beliau berkata, mangsa berusia 19 tahun turut memberitahu dia tidak lagi mempercayai dan membenci lelaki seusia bapanya itu.

Katanya, mangsa kedua menyatakan dia hampir gila memikirkan perbuatan jijik bapanya itu yang menggunakan pelbagai ugutan dan helah serta memaksanya mengadakan seks biarpun ibunya berada di rumah.

Anis Najwa turut berhujah, perbuatan tertuduh merosakkan institusi kekeluargaan sedangkan tanggungjawabnya sebagai ayah untuk melindungi kehormatan anak perempuannya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam menyatakan dia sudah insaf dan sudah memohon maaf kepada isteri serta anak-anak selain merayu mahkamah menimbangkan faktor dia menghidap penyakit jantung,
darah tinggi, diabetes, sakit kulit kronik serta masalah tulang belakang.

Kes berkenaan terbongkar selepas isteri mangsa ternampak tertuduh sedang merogol anak keduanya yang kini berusia 15 tahun dalam kejadian terbaru pada 5 September lalu.

Tertuduh melakukan perbuatan terkutuk itu di dalam rumah termasuk sofa ruang tamu, bilik kelamin dan bilik tidur kedua-dua mangsa.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Mazana Sinin, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun selepas tertuduh turut mengaku bersalah mengeluarkan kata-kata ugutan bunuh terhadap isteri dan anak-anaknya itu di rumah mereka pada 5 September lalu.

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya dan dijatuhi hukuman penjara dua tahun. – SM

(Visited 80 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button