NasionalNegeriParlimen

RMK-12: Lonjakan pembangunan Sabah, Sarawak

TIDAK dipinggirkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembangunan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri kurang membangun akan dilonjakkan.

Memberi jaminan akan komited untuk menyelesaikan isu-isu berhubung tuntutan Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963, beliau berkata, ini termasuk keperluan infrastruktur asas, kawal selia gas dan elektrik, aspek pendigitalan dan keselamatan.

“Oleh itu, pembangunan negeri Sabah dan Sarawak akan terus diberi keutamaan dalam RMK-12. Penyediaan infrastruktur asas akan diperluas dengan membina jambatan dan menaik taraf 1,400 km jalan berturap luar bandar serta menyiapkan pembinaan 1,150 km Lebuhraya Pan Borneo,” katanya di Dewan Rakyat pagi tadi.

Beliau juga berkata, usaha mengurangkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, wilayah serta antara bandar dan luar bandar akan terus diberi tumpuan.

“Usaha melonjakkan pertumbuhan negeri kurang membangun terutama Sabah dan Sarawak akan dipergiat. Ia bermatlamat untuk mempercepatkan pertumbuhan KDNK yang perlahan di negeri Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu serta mengurangkan kadar kemiskinan, terutama di Sabah, Kelantan dan Sarawak,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan Pembangunan Asas Persekutuan akan diagihkan kepada negeri-negeri tersebut.

Peruntukan ini ditumpukan kepada penyediaan infrastruktur asas, pendigitalan, pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi, katanya sambil menambah, beliau sendiri akan memantau pelaksanaannya secara dekat.

“Seperti yang saya umumkan semasa Hari Malaysia, peruntukan berjumlah 7.7 bilion ringgit, iaitu 3.61 bilion ringgit  kepada negeri Sabah dan 4.09 bilion ringgit kepada negeri Sarawak disediakan bagi pelaksanaan JENDELA sepanjang tempoh RMK-12.

“Dengan peruntukan ini, liputan jalur lebar akan dipertingkat melalui pembinaan infrastruktur digital, termasuk pembinaan menara atau pemancar telekomunikasi.

“Sehingga Ogos 2021, sebanyak 2,645 infrastruktur digital siap dipasang di Sabah dan 2,117 di Sarawak. Bagi menambah baik bekalan elektrik, loji janakuasa baharu akan dibina dan talian penghantaran Grid Timur-Barat Sabah akan dinaik taraf. Projek pembinaan hidroelektrik Baleh di Sarawak dijangka siap pada tahun 2025,” katanya.

Sementara itu, menyentuh tentang perkhidmatan penjagaan kesihatan, Ismail Sabri berkata, aspek itu akan dapat dipertingkat dengan siapnya Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah dan Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak.

“Pembinaan 26 buah klinik baharu akan dapat menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan di klinik desa di kedua-dua negeri. Selain itu, pembinaan rumah baharu dan pembaikan rumah daif di bawah program bantuan rumah akan memberi manfaat kepada 26 ribu isi rumah miskin di Sabah dan Sarawak.

“Bagi menjamin keselamatan dan meningkatkan hubungan ekonomi dengan Kalimantan, Indonesia, pos kawalan sempadan yang baharu di Manalunan, Simanggaris dan Kalabakan, Sabah, akan dibina, manakala Kompleks ICQS Tebedu dan Serikin, Sarawak akan dinaik taraf. Selain itu, Projek Jalan dari Sempadan Ba’kelalan/Kompleks CIQ Menghala ke Lawas akan dimulakan pembinaan pada tahun 2022,” katanya lagi.

Dengan pelaksanaan strategi dan inisiatif untuk melonjakkan pembangunan Sabah dan Sarawak ini, pertumbuhan purata KDNK tahunan negeri Sabah dijangka meningkat pada kadar 6.5 peratus.

Manakala negeri Sarawak pada kadar 5.3 peratus dalam tempoh 2021 hingga 2025 dan Ismail Sabri turut menyatakan keyakinannya bahawa kedua-dua negeri itu mempunyai keupayaan dan kekuatan sumber yang boleh dioptimumkan sepenuhnya

“Dalam usaha mentransformasi kawasan luar bandar, aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi akan dirancakkan melalui platform e-dagang, pertanian pintar dan industri luar bandar. Infrastruktur luar bandar akan dipertingkat dengan membina dan menaik taraf 2,800 km jalan berturap, antaranya:

Jalan Nanga Tulie ke Rumah Bujah, Nanga Pelagus di Kapit, Sarawak dengan kos sebanyak 280 juta ringgit; Jalan Dudar ke Taburan ke Mendawang di Kota Belud, Sabah dengan kos sebanyak RM 101 juta;

Jalan Luar Bandar dari Simpang FELCRA Ulu Kerut ke Kg Orang Asli Bot-Bot ke FELDA Jengka 7 ke Jalan Kilang Sawit Jengka 18 di Daerah Maran, Pahang dengan kos sebanyak RM 135.3 juta dan

Jalan Baharu dari Kampung Gagu ke Ulu Beranang di Negeri Sembilan dengan kos projek sebanyak RM179.2 juta.

“Selain itu, usaha juga akan dipertingkat untuk memastikan akses kepada bekalan air bersih mencapai 98 peratus dan bekalan elektrik 99 peratus,” katanya.

Bagi mempergiat aktiviti sosioekonomi setempat pula, projek-projek kecil luar bandar akan terus dilaksana seperti Program Ameniti Sosial dengan peruntukan sebanyak 310 juta ringgit dan pembinaan Jalan Perhubungan Desa dengan kos sebanyak 1.6 bilion ringgit. Usaha ini dijangka dapat membantu merapatkan jurang pendapatan antara luar bandar dan bandar, kata Ismail Sabri.

“Saya menghargai setiap titik peluh dan penat lelah peladang, penternak dan nelayan. Mereka juga merupakan sebahagian daripada komponen penting dalam pembangunan luar bandar. Keluarga kita ini harus dibawa bersama dalam transformasi ekonomi negara.

“Kerajaan giat melaksanakan Pelan Pemulihan FELDA untuk mengembalikan kegemilangan agensi ini dalam membela nasib rakyat.
Pemulihan ini melibatkan penstrukturan semula kewangan FELDA dan memperkasa taraf sosioekonomi warga FELDA.

“Hasrat Kerajaan adalah untuk menjadikan FELDA peneraju dalam pertanian pintar dan pengeluaran makanan negara. Kita mahu FELDA lebih mampan dan menjadi contoh atau role model dalam transformasi komuniti luar bandar yang moden dan progresif,” ujar beliau.

Ismail Sabri dalam RMK-12 turut menyentuh tentang Isu perumahan generasi kedua yang akan ditangani dengan memperkenalkan semula model pembangunan perumahan berasaskan konsep bina sendiri oleh generasi kedua.

Beliau berkata, melalui model ini, generasi kedua akan ditawarkan tapak rumah dan reka bentuk yang standard oleh Kerajaan. – SM

(Visited 240 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button