Nasional

Rezeki saya terima Mitsubtshi Triton – Abang Viva

MELAKA 15 Januari – Wira Banjir atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Abang Viva’ atau nama sebenarnya Azwan Omar, 29, menerima hadiah paling bermakna yang tidak pernah diimpikan.

Rabu lepas, dia menerima sebuah motosikal jenis Yamaha XJ6S berserta beberapa aksesori lain seperti topi keledar, jaket dan beg galas yang dihadiahkan oleh seorang individu yang tidak mahu dikenali.

Petang semalam, anak bongsu daripada empat beradik itu menerima hadiah kedua iaitu sebuah kenderaan pacuan empat roda (4×4) Mitsubitshi Triton dianggarkan bernilai RM141,262 di rumahnya di Taman Pengkalan Indah, Alor Gajah dekat sini.

Itu adalah janji Pengasas produk kosmetik Shalicious Empire Sdn. Bhd., Sha Hassan selepas teruja dengan usaha murni Azwan berbekalkan wang RM50 bergerak secara solo membantu mangsa banjir di Puchong, Shah Alam dan Temerloh Disember lalu.


Azwan berkata, tiada ungkapan mampu diluahkan melainkan mengucap rasa syukur atas pemberian kenderaan tersebut yang disampaikan sendiri pengasas produk kosmetik itu.

“Hanya mampu saya katakan ialah mengucapkan terima kasih kerana Sha Hassan ikhlas memberikan Triton baharu yang dibeli secara tunai. Mereka beri ikhlas tanpa sebarang syarat dan saya terima dengan hati terbuka.

“Saya tidak harapkan balasan atas usaha saya menolong mangsa banjir di Puchong, Shah Alam dan Temerloh, Pahang. Namun ini mungkin takdir saya menerima rezeki yang tidak dijangka,” ujarnya ketika dihubungi
hari ini.

Menerusi hantaran di laman Triton Malaysia Club, sebuah video berdurasi satu minit memaparkan Azwan tersenyum melihat sebuah Mitsubitshi Triton tiba di hadapan rumahnya.

Turut kelihatan dalam rakaman itu ialah pengasas Shalicious Empire Sdn Bhd yang sudi menghadiahkan pemuda itu sebuah pacuan empat roda selepas kisah ‘Abang Viva’ membantu bangsa banjir tular di media sosial.

Azwan berkata, apa yang diterimanya adalah untuk ibunya, Bibah Hashim, 66, dan bapanya, Omar Pilus, 75, yang kini ditanggungnya termasuk dua anak arwah kakak sulungnya.

Biarpun menerima Triton, Azwan mahu terus kekal menggunakan panggilan ‘Abang Viva’ dan tidak mahu mengubah kepada Abang Triton.

Menurutnya, panggilan Abang Viva tetap kekal digunakan dan tidak bercadang untuk menukar kepada Abang Triton kerana itu nama itu cukup sinonim dengan dirinya selain menjadi punca dia menerima pelbagai anugerah dan hadiah atas usahanya membantu bukan sahaja mangsa banjir tetapi juga musibah lain.

(Visited 174 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button