Nasional

Rentas negeri bermula esok hanya untuk lengkap divaksin – PM

RENTAS negeri bermula esok hanya dibenarkan kepada mereka yang lengkap mempunyai dua dos vaksin.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengumumkan kebenaran tersebut sebentar tadi berkata, polis mempunyai kuasa untuk membuat pemeriksaan.

“Syarat utama untuk merentas negeri ini adalah kepada mereka yang mempunyai dua dos vaksin. Mereka yang tidak mempunyai dua dos vaksin atau yang langsung tidak mempunyai vaksin tidak dibenarkan.

“Walaupun mungkin tidak ada sekatan jalan raya khusus untuk menyekat rentas negeri tetapi pihak polis boleh membuat pemeriksaan secara rawak di mana sahaja. Mungkin sewaktu kita berada di R&R pihak polis boleh membuat pemeriksaan.

“Walaupun tidak ada lagi sekatan jalan raya khusus untuk rentas negeri tetapi sekatan jalan raya pihak polis sentiasa ada. Bagi menjaga keselamatan negara,” katanya.

Pemeriksaan secara rawak dilaksanakan oleh pihak berkuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Kanak-kanak di bawah 15 tahun yang belum lengkap divaksin dibenarkan untuk merentasi negeri.

Kebenaran rentas negeri dibenarkan selepas Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus populasi dewasa.

Katanya, kebenaran pergerakan rentas negeri ini tidak terpakai ke atas kawasan atau lokaliti yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ismail Sabri menasihatkan , mereka yang ingin merentas negeri untuk berjumpa dengan ibu bapa dan keluarga
Malaysia disaran untuk melakukan ujian COVID-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan.

Bagi mereka yang bergejala seperti demam, batuk, selsema dan sesak nafas dinasihatkan supaya menangguhkan dahulu perjalanan.

Kerajaan juga turut bersetuju untuk membenarkan rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke luar negara tanpa melalui #MyTravelPass Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Walau bagaimanapun, pengembara masih perlu menjalani kuarantin wajib sebaik pulang ke tanah air.

“Keputusan pemansuhan ini antaranya untuk menghubungkan ahli keluarga dan pasangan yang
terpisah, rakyat Malaysia yang ke luar negara bagi tujuan bekerja dan mereka yang menjalankan urusan perniagaan.

“Bagaimanapun, kebenaran ini tertakluk kepada individu yang lengkap divaksin. Di sebalik semua kelonggaran yang telah diumumkan, hakikatnya kita terpaksa hidup bersama virus COVID-19.

“Situasi ini bukan sahaja menuntut rakyat untuk terus mematuhi SOP, malah penting untuk meningkatkan
penilaian kendiri demi melindungi Keluarga Malaysia,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Beliau turut mengingatkan semua pemilik premis kedai makan, kedai-kedai runcit, pusat beli-belah, fasiliti-fasiliti
sukan termasuk gymnasium, pejabat dan lain-lain untuk memeriksa status vaksinasi dan juga status risiko
COVID-19 pelanggan di dalam aplikasi MySejahtera.

Ismail Sabri menasihatkan mereka yang masih belum divaksin untuk segera berbuat demikian.

Ini kerana banyak kelonggaran yang telah diumumkan seperti merentas negeri, melancong dalam dan luar negara, dine-in, dan sebagainya bergantung kepada syarat lengkap vaksinasi.-SM

(Visited 153 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button