NasionalNegeri

Rejimen Askar Wataniah wajar diletakkan status siap siaga – Raja Muda Perlis

RAJA Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, Rejimen Askar Wataniah wajar diletakkan dalam status siap siaga dan boleh dimobilisasi jika diperlukan sekalipun sebagai Pasukan Simpanan Tentera Darat Malaysia.

Baginda bertitah, ini bagi memastikan konsep membantu-ganti atau ‘Augmentation’ dapat diimplimentasikan.

Titah Baginda, setiap pegawai dan anggota sukarela Rejimen Askar Wataniah juga mestilah mempunyai kemahiran ketenteraan yang sama dengan angkatan tetap.

“Ia dapat direalisasikan dengan peningkatan keaktifan dalam menjalani latihan ketenteraan dan latihan bersama angkatan tetap melalui konsep afiliasi,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menerima sembah mengadap Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah (R504AW), Leftenan Kolonel, Lasahi Laiji bagi membincangkan hala tuju dan perancangan rejimen tahun 2023 ini di Bilik Persidangan, Galeri DiRaja Arau.

Timbalan Komander R504AW juga menyeru anak-anak watan Perlis yang sihat tubuh badan dan memenuhi keperluan minima Tentera Darat Malaysia supaya tampil kehadapan untuk menyertai rejimen berkenaan.

Katanya, mereka boleh hadir ke Kem Bukit Keteri pada hari Isnin hingga Jumaat mulai pukul 8 hingga 11 pagi dan 2 hingga 4 petang untuk mendaftarkan diri sebagai Angkatan Sukarela atau mendapatkan maklumat lanjut.

Katanya, pendaftaran dalam Angkatan Sukarela ini amatlah diharapkan untuk sama-sama bertindak sebagai barisan hadapan bagi menghadapi sebarang ancaman negara dari luar dan juga dalam.

Lasahi juga menambah, R504AW kini merancang pelbagai aktiviti kolaborasi dengan agensi-agensi awam dan swasta sepanjang tahun ini bagi terus meningkatkan kadar keaktifan para anggotanya. – SM

(Visited 165 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button