Kemalanganpilihan

Wanita maut kereta terbabas rempuh pokok

Seorang wanita yang dalam perjalanan untuk menaiki bas berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh untuk ke tempat kerjanya di Shah Alam maut selepas kereta Perodua Alza yang dipandunya terbabas sebelum merempuh pokok di Jalan Ayer Keroh-Gapam awal pagi tadi.

Mazuin Mohamad.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd. Fadzli Othman berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Mazuin Mohamad, 43, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Menurutnya, dalam kejadian pukul 5.45 pagi itu mangsa yang memandu seorang diri dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Shah Alam dari arah Jasin melalui Gapam menghala ke Ayer Keroh.

“Setibanya di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas lalu merempuh sebatang pokok di tepi jalan tersebut.


“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” ujarnya di sini hari ini.

Mohd. Fadzli berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu beberapa rakan mangsa yang menaiki bas untuk ke tempat kerja di Shah Alam dan Kuala Lumpur amat terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa mangsa.

Maklumat berhubung kemalangan maut yang menimpa Mazuin dikongsi melalui kumpulan WhatsApp Geng Bas pagi tadi.

Salah seorang kenalannya, Siti Anum Che Ab. Wahab berkata, dia tidak berapa mengenali mangsa namun kerap melihatnya menaiki bas setiap hari berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh.

“Berita ini sangat mengejutkan kami dalam Geng Bas,” ujarnya yang berulang-alik ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas sejak lebih tiga tahun lalu.

Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Pegawai Bomba Kanan II Kamarudin Mat Amin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum anggotanya bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sejurus tiba, mangsa didapati tersepit di tempat duduk pemandu dan anggota bomba mengeluarkan mayat mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – SM

(Visited 137 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button