Rejimen 504 Askar Wataniah gotong-royong bersih Kampung Seberang Ramai
REJIMEN 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia akan menganjurkan satu Projek Jiwa Murni berupa aktiviti gotong royong bagi membersihkan kawasan Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis pada hari ahad, 30 Jun 2024 yang akan datang nanti.
Program ini dijalankan sempena Hari Ulang Tahun Askar Wataniah ke-66 Peringkat Kebangsaan pada 1 Jun lalu yang akan disambut secara besar-besaran di negeri Perlis pada edisi kali ini bermula pada 28 sehingga 30 Jun 2024 oleh Bahagian Pasukan Simpanan (BPS) Tentera Darat Malaysia di bawah kepimpinan Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A.Wahab selaku Asisten Panglima BPS.
Seramai 1,714 Pegawai dan anggota pasukan sukarela dari seluruh negara termasuklah mereka yang akan terlibat dalam Latihan Tahunan Askar Wataniah Politeknik Malaysia (MaIPTAAC) siri ke-15 dari 22 buah kampusnya yang akan dituanrumahkan oleh Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) dengan kerjasama pelbagai rakan strategiknya yang lain akan turut serta dalam program ini.
Pemangku Raja Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Komander Rejimen berkenaan dijadualkan berangkat hadir bagi mengetuai inisiatif tersebut.
Baginda bertitah bahawa, ‘Aktiviti ini adalah sebahagian daripada usaha-usaha yang telah dijalankan sepanjang tahun oleh pihak rejimen yang memegang slogan ‘Latih Untuk Perang’ dipimpin oleh Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji itu bagi sama-sama memainkan peranan membantu meningkatkan lagi tahap kebersihan dan keindahan kampung tersebut bersama agensi Awam dan komuniti setempat. Di samping itu, usaha ini juga akan terus memberikan kesedaran kepada masyarakat secara umumnya akan kepentingan menjaga alam sekitar khususnya pada ketika negeri ini sedang giat melaksanakan kempen promosi Tahum Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025’.
Tuanku Syed Faizuddin Putra merujuk kepada Hadith Riwayat Tirmizi, yang diriwayatkan oleh Sa’ad bin Abi Waqas dari bapanya, Rasulullah S.A.W bersabda “Sesungguhnya Allah SWT itu suci yang menyukai hal-hal yang suci, Dia Maha Bersih yang menyukai kebersihan, Dia Maha Mulia yang menyukai kemuliaan, Dia Maha Indah yang menyukai keindahan, kerana itu bersihkanlah tempat-tempatmu’.