Ekonomi

realme komited capai matlamat 100 juta pengguna belia dalam tiga tahun

REALME  menyatakan komitmen memastikan 100 juta pengguna muda dapat menggunakan telefon pintar 5G dalam tempoh tiga tahun akan datang. 

Perkara itu disampaikan dalam satu sidang kemuncak 5G yang diadakan secara maya dengan kerjasama GSMA, Counterpoint Research dan Qualcomm pada 3 Jun.

Menerusi acara itu, realme turut mendedahkan kemunculan model baharu siri realme GT yang memfokuskan prestasi 5G dan kamera flagship, bakal dilancarkan pada Jun dan Julai 2021. 

Menurut realme, kemunculan peranti baharu itu juga adalah sebahagian inisiatif korporat syarikat mempromosikan perkembangan 5G di peringkat global.

Bertemakan ‘Making 5G Global: Accessibility to All’, sidang kemuncak 5G menyaksikan pemimpin persatuan industri, institusi penyelidikan, vendor komponen dan pengeluar peranti tampil berkongsi pandangan mengenai topik 5G. 

Ia merangkumi perbincangan mengenai penyambungan semasa 5G global, pendorong dan aspek teknikal evolusi 5G, hubungan unik antara 5G dengan generasi muda serta langkah untuk mempermudah akses 5G pada masa akan datang.

Dalam pada itu, realme turut menegaskan komitmen untuk mempopularkan 5G dan berkongsi janji memajukan penerapan 5G di pasaran global sekali gus membawa teknologi itu kepada lebih ramai pengguna di seluruh dunia. 

Pada 2020, realme melancarkan 14 peranti 5G di 21 pasaran utama dunia merangkumi sekitar 40 peratus daripada produk keluarannya. 

Menjelang 2022 pula, realme mensasarkan peningkatan jumlah penawaran 5G sehingga lebih 20 peranti meliputi 70 peratus produk di 50 pasaran.

realme juga merancang menerajui industri global dengan melancarkan telefon bimbit 5G pada harga serendah 100 dolar Amerika Syarikat (AS$) dalam beberapa tahun akan datang. 

Ia sebahagian langkah meningkatkan penggunaan 5G khusus di negara membangun.

Naib Presiden realme merangkap Ketua Pegawai Eksekutif realme India dan Eropah, Madhav Sheth, berkata sejak kemunculan model 5G pertama iaitu realme X50, realme komited meneroka konsep reka bentuk dan inovasi teknikal baru bagi menghasilkan peranti 5G lebih tipis, mempunyai reka bentuk memukau dan berprestasi tinggi. 

“Dalam era 5G, kami percaya komitmen untuk mempercepat penggunaan teknologi baru adalah misi penting. Kami akan bekerja keras untuk mempromosikan 5G dengan memahami keperluan pengguna, mendorong inovasi produk dan membantu membina ekosistem 5G lebih luas dengan rakan industri,” katanya.

Pengarah Jenama realme, Johnny Chen, pula menjelaskan bahawa 5G mempunyai hubungan rapat dengan generasi muda. 

Menurutnya, golongan ini bijak memanfaatkan internet dan mencari cara untuk menghubungkan dan mengekspresikan diri mereka secara maya. 

“Sebagai jenama yang dikhaskan untuk pengguna muda, realme sentiasa mendengar dan meneliti setiap perkara yang mereka harapkan daripada teknologi 5G. Kami berusaha membuat mereka lebih terlibat dalam proses mencipta pengalaman pengguna 5G lebih baik. 

“Dengan penguasaan 5G dalam golongan muda, kami berharap mereka dapat menjadi perintis transformasi 5G dan membantu memimpin lebih ramai orang beralih ke era 5G,” katanya.

Tahun ini, realme merancang menubuhkan lebih 10 kedai pop-up 5G di seluruh dunia, membolehkan golongan muda menikmati pengalaman 5G menerusi permainan Cloud, teknologi Augmented Reality (AR), penyiaran langsung dan aplikasi 5G lain yang popular.

Mengulas lanjut mengenai cabaran 5G, Ahli Ekonomi Utama, GSMA Intelligence, Kalvin Bahia, pula berkata sehingga Mei tahun ini, 60 negara di seluruh dunia sudah melancarkan 5G dan 12 diantaranya adalah pasaran baru yang sebahagian besar di Asia. 

“Walaupun pertumbuhan liputan 5G sangat memuaskan, tinjauan GSMA menunjukkan bahawa masih terdapat kekangan lain yang menghalang penggunaan teknologi baru secara meluas dalam kalangan pengguna. Ia termasuklah kemampuan peranti, kekurangan literasi digital dan kemahiran serta kos data mudah alih. 

“Namun, peralihan 5G tidak dapat dielakkan di seluruh dunia. Penerapan teknologi ini diharapkan dapat menyumbang AS$600 bilion kepada ekonomi global dalam dekad berikutnya,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden dan Pengarah Penyelidikan Counterpoint Research, Peter Richardson, mengakui bahawa pertumbuhan 5G sangat memberangsangkan dan penurunan harga telefon pintar yang pesat menjadi salah satu pemacu utama. 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button