Ekonomi

DNEX muktamad ambil alih pegangan tambahan Ping Petroleum

ANAK syarikat milik penuh Dagang NeXchange Bhd (DNeX), DNeX Energy Sdn. Bhd. membeli 60 peratus kepentingan tambahan dalam Ping Petroleum Ltd dengan harga AS$78 juta (RM323.59 juta).

Langkah itu sekali gus menambahkan pegangannya dalam syarikat itu kepada 90 peratus.

Ping adalah syarikat minyak dan gas huluan dengan portfolio seimbang mengeluar dan membangunkan aset minyak dan gas di Anasuria Cluster yang terletak di North Sea, United Kingdom (UK).

DNeX, penyedia perkhidmatan teknologi maklumat dalam satu kenyataan hari ini berkata pengambilalihan itu akan dibayar menerusi gabungan AS$40.95 juta secara tunai dan terbitan saham biasa baharu dalam DNeX.

Pengarah Urusan Kumpulan DNeX Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata peningkatan harga minyak mentah Brent melepasi paras AS$70 setong memberi prospek yang baik kepada segmen tenaga kumpulan.

“Sehubungan itu, kami akan mengembangkan perniagaan kami dalam sektor minyak dan gas huluan bagi memanfaatkan trend meningkat ini.

“Bagi meningkatkan pengeluaran kami di Anasuria Cluster, kami telah memperuntukkan kira-kira AS$71 juta untuk aktiviti pembangunan semula dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya sambil menambah ia termasuk aktiviti penggerudian telaga dan kerja-kerja menambah baik kemudahan.

Menurut Syed Zainal, kumpulan itu juga merancang untuk melaksanakan strategi jangka panjang bagi merealisasikan potensi pertumbuhan jangka panjang Ping.

“Pelan pengembangan Ping akan ditumpukan untuk memanfaatkan potensi aset pasca pembangunan lain di UK dan rantau Asia Tenggara,” katanya.

Menurutnya, keseluruhan prospek DNeX Energy adalah meyakinkan dengan pelbagai perancangan pembangunan menarik.

Mengenai perkembangan lain, kumpulan itu berkata pasca pengambilalihan Ping akan diterajui Zainal Abidin Jalil sebagai Pengarah Urusan dan Datuk Robert Fisher sebagai Pengerusi.

Ketika ini Fisher ialah Pengarah Bebas Bukan Eksekutif DNeX manakala Zainal Abidin menganggotai Lembaga Pengarah DNeX sebagai Pengarah Eksekutif. – BERNAMA

(Visited 295 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button