Nasional

Ratusan surat Beta terima dari rakyat merintih – Agong

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini mendedahkan baginda menerima ratusan surat rintihan daripada rakyat.

Surat itu, menurut baginda, penuh dengan coretan duka dan beribu harapan agar daripada rakyat agar mereka dapat mengecapi semula kehidupan seperti biasa.

Al-Sultan Abdullah yang bertitah di hadapan 220 ahli Parlimen di Dewan Rakyat hari ini memberitahu, negara dan rakyat telah lama bergelut dengan isu kesihatan dan kesukaran ekonomi.

Ini selepas lebih setahun berlalu, negara masih lagi belum bebas sepenuhnya daripada pandemik COVID-19.

“Negara dan rakyat Beta telah Terlalu lama dibelenggu dengan masa hadapan yang kelam, bergelut dengan isu kesihatan dan juga kemurungan ekonomi.

“Terlalu ramai rakyat Beta yang terkesan dengan penularan pandemik ini. Terlalu ramai juga rakyat Beta yang telah kehilangan sumber rezeki.

“Ratusan pucuk surat telah Beta terima dari rakyat Beta yang merintih penuh duka dengan seribu harapan agar sinar perubahan dapat mereka kecapi dengan segera bagi meneruskan kehidupan seharian seperti biasa,” titah Al-Sultan Abdullah.

Dalam Istiadat Pembukaan Penggal Keempat, Parlimen Keempat Belas hari ini, Baginda menasihatkan semua ahli Parlimen jangan menjadikan rakyat sebagai taruhan dalam percaturan politik mereka.

Baginda menggesa semua kesemua ahli Parlimen memberikan tumpuan penuh dalam mengekang dan menghapuskan virus Covid-19.

“Nasihat Beta kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat jangan sama sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat Beta sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu.

“Justeru, Beta menyeru kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian untuk mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik COVID-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat Beta dan negara tanah tumpahnya darah kita.

“Semoga Malaysia serta rakyat yang Beta kasihi akan terus diberkati dan dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dengan taufik dan hidayah, aman sentosa serta hidup bersatu padu di bawah lindungan-Nya,” titah Baginda.

Dalam titah tersebut, Al-Sultan Abdullah turut menyampaikan tiga rangkap pantun sebagai panduan kepada semua ahli Parlimen supaya ikhlas berbakti kepada rakyat dan negara.

Dari Segamat ke Kota Tinggi;
Hajat mulanya ke Kuala Pahang;
Kepada Yang Berhormat ikhlaslah berbakti;
Tidaklah rakyat gusar dan bimbang.

Kalau memandang langit yang tinggi;
Jangan lupa rumput di bawah;
Bekerjalah Yang Berhormat sepenuh hati;
Martabatkan negara kembali bermaruah.

Rempah halia digaul diuli;
Buat ramuan nasi kebuli;
Sumpah setia ketaatan diberi;
Pertahankan negara dan ibu pertiwi.-SM

 

 

(Visited 204 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button