
Ratu Scam tumpas! wanita warga China dalang ‘scammer’ berjaya ditangkap
WARGA China perempuan berjaya ditahan oleh pihak polis kerana menjadikan pusat panggilan penipuan di Malaysia sebagai markas operasi sindiket jenayah siber. Dalam serbuan yang dilakukan oleh Unit Taktikal Siber dan Bahagian Operasi Risikan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, lapan unit kondominium mewah bernilai RM16 juta di Persiaran Stonor, Kuala Lumpur, berjaya dikesan digunakan sebagai pusat operasi sindiket tersebut.
Hasil serbuan itu, seramai 14 individu, termasuk empat wanita berusia lingkungan 28 hingga 52 tahun, berjaya diberkas. Mereka terdiri daripada seorang warga Turkiye, 11 warga China, dan dua rakyat tempatan yang dipercayai memegang pelbagai peranan dalam sindiket berkenaan, termasuk sebagai ketua, penolong ketua, pengurus, pengurus kewangan, pegawai khidmat pelanggan serta pemandu.
Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM4.8 juta dalam pelbagai mata wang asing, dua kenderaan Toyota Alphard, peralatan komputer, barang kemas, modem, serta dokumen jual beli rumah. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM7 juta.
Siasatan awal mendapati sindiket ini menjalankan penipuan permainan dalam talian melalui platform WeGame, dengan menawarkan pelbagai hadiah mewah seperti telefon pintar, komputer, serta barangan jenama terkenal termasuk Louis Vuitton dan Balenciaga. Sindiket ini juga menjanjikan beberapa kategori hadiah kepada pemenang, antaranya ‘Special’, ‘First’, ‘Second’, ‘Third’, dan ‘Lucky Prize’.
Lebih mengejutkan, siasatan turut mendedahkan bahawa kesemua lapan unit kondominium tersebut dimiliki oleh seorang wanita warga China yang merupakan salah seorang suspek utama. Premis tersebut dipercayai dibeli secara berperingkat sejak September tahun lalu, dengan setiap unit dianggarkan bernilai RM2 juta.
Selain itu, siasatan lanjut mendapati wanita tersebut dan ketua sindiket dipercayai merupakan bekas pasangan suami isteri. Polis kini sedang mengembangkan siasatan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang lebih luas serta sumber kewangan mereka.