fbpx
Nasional

Rasuah RM3.7 juta: Dua termasuk bekas Setiausaha Sulit Kanan bekas menteri ditahan

Dua individu termasuk seorang bekas Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) bekas menteri direman selama lima hari bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah melibatkan nilai RM3.7 juta.

Perintah reman bermula hari ini sehingga 19 Ogos dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki yang pernah memegang jawatan SUSK berusia 29 tahun itu dan tunangnya berumur 28 tahun, ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kira-kira pukul 5.30 petang dan 10.00 malam semalam ketika hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, kedua-dua suspek hadir menyerah diri di Ibu Pejabat SPRM setelah menghilangkan diri sejak 10 Jun lalu.

“Mereka sebelum ini dijejaki oleh SPRM kerana disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah melibatkan wang daripada sebuah syarikat yang mendapat projek promosi pengiklanan kelolaan Kementerian Pelancongan,” kata sumber.


Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

“SUSK tersebut akan didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah Rasuah Kuala Lumpur pada Rabu depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009,” jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pemilik syarikat yang mempunyai kaitan dengan tender pengiklanan tersebut telah didakwa pada 27 Julai lalu atas tiga pertuduhan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana mengemukakan tuntutan palsu untuk mendapatkan tender ‘Global Advertising Agencies and Promotion for Tourism Malaysia’ bernilai RM89 juta. -SM

(Visited 3 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button