Politik

Ramai tanya siapa ‘menteri roti John’

NAMPAKNYA menteri yang membuat jenaka tentang roti John kepada seorang pegawai tinggi asing bernama John terus menjadi perhatian.

Pertama kali didedah dalam sebuah akhbar semalam, ramai yang tertanya-tanya siapakah menteri yang sanggup membuat lawak mengenai nama seseorang terhadap pegawai tinggi negara asing dalam acara yang membicangkan isu serius.

Bukan Menteri Pertahanan buat lawak roti John, kata Setiausaha Akhbar

Sebelum ini Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin mahu mengetahui siapa menteri berkenaan. Wonder which minister?” (Agaknya menteri mana satu?) kata Khairy dalam Instastorynya.

Hari ini Ahli Parlimen Semberong Hishammuddin Hussein pula melemparkan soalan yang sama.

“Menteri PH mana yang buat lawak tak kena tempat ni? Hari tu kecoh menteri PH cerita kisah gajah bertembung dalam satu persidangan antarabangsa.

“Kali ni kisah roti John pula. Saya harap cerita ini palsu. Tetapi kalau sahih, ia amat mendukacitakan, apatah lagi ia dilakukan ketika mesyuarat yang membincangkan perihal keselamatan dunia,” kata bekas Menteri Pertahanan itu.

[BACA ARTIKEL] Kalaupun tak suka, takkan sampai cerita roti john pun mahu dikecam

Hishammuddin mempertikaikan kualiti menteri Pakatan Harapan yang dilaporkan memberi kenyataan yang disifatkan tidak wajar bagi mesyuarat yang membincangkan perkara serius.

Menulis di hantaran Facebook beliau, ahli parlimen Sembrong itu menasihatkan kepada menteri PH berkenaan supaya tidak mencalarkan maruah negara jika tidak mampu menggalas tugas sebagai seorang menteri.

Artikel mengenai menteri itu dilaporkan dalam The Star bertajuk The Pakatan Harapan Wild Card dan ditulis oleh Philip Golingai.

Dia menceritakan bagaimana sesetengah daripada menteri tidak cekap menjalankan tugas dan berpendapat bahawa seseorang itu tidak sewajarnya diberikan tugas sebagai menteri hanya kerana jawatan di dalam parti.

Philip turut menceritakan perbualannya bersama seorang diplomat, yang memberitahunya seorang menteri dari Malaysia bertemu dengan seorang pegawai tinggi bernama John dari negaranya.

“Menteri kamu kata, ‘Nama kamu John. Di negara saya, ada roti John. Jika kamu datang ke negara saya, saya boleh masakkan roti John untuk kamu’,” menurutnya tanpa menamakan mana-mana menteri.

Selain itu, penulis artikel itu turut mengkritik sesetengah menteri yang menurutnya asyik berpolitik tanpa menghiraukan nasib rakyat serta kesan kepada diri mereka akan datang.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button