Politik

Rakyat sangat kecewa RUU tidak dibentangkan – Najib

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 10 April – Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, majoriti rakyat kecewa Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin telah ditangguhkan buat kali kedua.

Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, kalau ikut pada hasrat pengundi, mereka mahu rang undang-undang
tersebut dibentangkan kerana itu adalah prinsip yang mulia.

Jelasnya, RUU tersebut sebenarnya memberi keadilan kepada rakyat selepas mereka membuat keputusan untuk
memilih wakil rakyat dan parti namun calon yang menang itu pergi ke pihak lain.

“Rakyat memilih wakil rakyat berdasarkan kepada parti dan parti juga bekerja untuk calon yang bertanding
dan tiba-tiba dia melompat kepada pihak lain.

“Ini bermakna dia telah mengkhianati mandat yang diberikan oleh rakyat. Itu adalah prinsip asas dan sebab
itu majoriti rakyat hendak supaya RUU ini dibentangkan di Dewan Rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Grand Ramadan Bazaar di Jalan Hang Tuah di
sini malam tadi.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan Pengerusi
Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Zaidi Attan.

Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi
Tuanku Jaafar memberitahu, kabinet tidak bersetuju dengan pembentangan RUU Anti Lompat Parti itu.

Jelasnya, RUU berkenaan tidak akan dibentangkan pada sidang khas pada Isnin sebaliknya akan dihantar
semula untuk kajian lanjut mengenai definisi ‘lompat parti’.

Ekoran daripada keputusan tersebut pelbagai pihak terutama dalam kalangan Ahli Parlimen mula menyuarakan
rasa tidak puashati ekoran penangguhan RUU buat kali kedua.

Mengulas mengenai perkembangan terkini debat antara beliau bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar
Ibrahim mengenai isu kewangan Sapura Energy Berhad Najib berkata, ia akan diadakan selepas Ramadan ini.

“Kita sedang runding selepas Ramadan dan orang kata tak sesuai kalau dibuat di bulan puasa sebab kita nak
beri tumpuan kepada ibadat,” ujarnya.

(Visited 153 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button