Nasional

Rakyat perlu ada simpanan asas RM240,000 untuk bersara cara bermaruah

RAKYAT secara individu perlu ada simpanan asas sebanyak RM240,000 untuk “bersara dengan bermaruah”, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, jumlah itu adalah sebagai paras sasaran apabila seseorang itu mencapai usia bersara 55 tahun.

“Jumlah itu mewakili anggaran RM1,000 sebulan untuk tempoh 20 tahun selepas usia bersara yang dianggap mencukupi untuk rakyat negara ini bersara dengan bermaruah.

“Jangka hayat rakyat adalah sehingga 75 tahun dan mereka perlu ada dana persaraan mencukupi untuk bersara dengan bermaruah,” katanya.

Beliau berkata, simpanan asas sebanyak RM240,000 cukup untuk menyara secara purata RM1,000 sebulan dan rakyat perlu memikir simpanan hari tua dengan kadar minimum itu.

Ahmad berkata demikian pada sidang media selepas lawatan ke pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Kota Bharu, Kelantan.

Beliau berkata, antara kaedah boleh digunakan untuk mencapai sasaran itu adalah menyertai syarikat yang menawarkan gaji lebih tinggi selain daripada membuat caruman secara sukarela.

Ahmad menyarankan rakyat terutama golongan yang bekerja dalam sektor tidak rasmi membuat caruman menerusi i-Saraan yang diperkenalkan KWSP.

Katanya, i-Saraan dibuka kepada semua yang bekerja tanpa majikan dan boleh mencarum secara sukarela dengan menerima insentif khas daripada kerajaan bagi tujuan persaraan.

“Setakat Jun, lebih 500,000 rakyat mendaftar caruman sukarela dengan i-Saraan dan kita sarankan lebih ramai menyertainya kerana selain menerima insentif, pencarum juga mendapat dividen bergantung kepada jumlah caruman,” katanya. – BERITA HARIAN – SM

BACA Kerajaan setuju KWSP laksana pengeluaran bulanan

BACA KWSP: Tiada perubahan terhadap pengeluaran penuh umur 55, 60 bagi ahli semasa

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button