Berita

Raja Muda Perlis saran masyarakat terus sumbang pembinaan pusat dialisis

ANGGOTA masyarakat disarankan agar terus menerus membantu menyumbang ke arah menjayakan pengumpulan dana pembinaan ‘Bangunan Wakaf MAIPs Perkhidmatan Dialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar’ demi manfaat dan kemaslahatan rakyat.

“Sebagai sebuah bangunan yang diwujudkan dari sumber wakaf, MAIPs masih memerlukan dana sekitar RM3 juta lagi daripada sumbangan ikhlas orang ramai untuk membiayai sepenuhnya pembinaan bangunan berkenaan.”

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri program ‘Hijrah Minda MAIPs’ bilangan yang ke 5 bagi tahun 2020 ini yang diadakan di Masjid Al Barakah, Jelempok, Arau pada petang semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Unit Kutipan dan Agihan, Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, Syed Aisam Syed Idris Al-Habshee.

Sebelum itu Syed Aisam memaklumkan kepada sekalian yang hadir bahawa kerja-kerja pembinaan ‘Bangunan Wakaf MAIPs Perkhidmatan Dialisis HTF Kangar’ ini telah dimulakan pada 3 April 2018 dan telah siap untuk diserahkan pada 2 Februari 2020 yang lalu iaitu genap dalam tempoh 22 bulan.

Pusat ini merupakan bangunan 2 tingkat dengan keluasan lantai 1,822 meter persegi yang mempunyai kapasiti sekitar 66 katil apabila beroperasi di tahap sepenuhnya kelak.

Terdahulu, turut diadakan ialah sesi ceramah yang disampaikan oleh para pegawai daripada pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis.

Untuk rekod, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah berkenan berangkat menyaksikan majlis penyerahan wakaf bangunan tersebut yang sudah siap dibina daripada pihak MAIPs selaku pemegang amanah tunggal harta wakaf di Negeri Perlis kepada Kementerian Kesihatan Malaysia pada 3 Februari baru-baru ini.

Ia dijadualkan mula beroperasi tiga bulan dari sekarang dengan menggunakan peralatan sedia ada dahulu sebelum ditambah perolehan peralatan baru sepanjang tahun ini dan juga tahun hadapan untuk sampai ke matlamat kapasiti 66 katil bagi memenuhi keperluan semasa.

(Visited 231 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button