NasionalNegeri

Raja Muda Perlis berkenan sertai program kayuhan basikal amal Bank Rakyat, MAIPs

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyertai program kayuhan berbasikal amal anjuran Bank Rakyat dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) baru-baru ini.

Program tersebut serentak dengan aktiviti rutin Baginda melalui ‘MAIPs Peduli Bilangan Ke-73 bagi tahun 2022’.

Tuanku Syed Faizuddin berkenan singgah di tiga buah rumah asnaf terpilih bagi menyantuni dan menyampaikan agihan zakat MAIPs bernilai RM700 secara tunai, beras serta bekalan makanan mentah.

Ia melibatkan Saadiah Darus, 72 di Kampung Guring, Mohamad Mat Isa, 74 di Jalan Syed Hussin dan Rokiah Akob, 61 di Kampung Kubang Paya.

Turut sama mengiringi Baginda, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Suriani Datuk Ahmad yang juga merangkap Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Rakyat, Dr Mohammad Hanis Osman dan CEO MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Terdahulu daripada itu dalam program berasingan di Kuala Perlis pula, Bank Rakyat telah menganjurkan pertandingan mewarna bertemakan Nuri Kuasa 10 dengan melibatkan 50 kanak-kanak Tabika KEMAS Kuala Perlis, Tadika Islam Perlis Seberang Ramai dan prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Ramai.

Konsep Nuri Kuasa 10 ini mengetengahkan saranan Bank Rakyat kepada kanak-kanak untuk mempraktikkan amalan menabung sebagai satu tabiat rutin di samping meningkatkan literasi atau celik kewangan.

Untuk rekod, Nuri Kuasa 10 telah bermula sejak 1 Oktober lalu dan akan terus berlangsung sehingga 31 Januari 2023 di mana ia turut menyokong inisiatif Bulan Literasi Kewangan 2022 anjuran bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jaringan Pendidikan Kewangan.

Turut juga diserahkan kelengkapan persekolahan Kelab Nuri iaitu beg sekolah dan set pakaian lengkap seperti tudung, baju, seluar, stoking serta kasut.

Ini melibatkan 350 murid di empat buah sekolah di Perlis bagi meringankan beban ibu bapa murid B40 dalam menguruskan perbelanjaan sekolah anak masing-masing.

Raja Muda juga bertitah, pelbagai pendekatan baharu Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dilaksanakan di Perlis pada kali ini sebagai menunjukkan komitmen Bank Rakyat yang sentiasa berusaha untuk memberi semula kepada masyarakat.

Titah Baginda, caranya adalah dengan penganjuran pelbagai aktiviti bermanfaat menerusi inisiatif jangkauan komunitinya bagi membantu usahawan, koperasi serta masyarakat secara menyeluruh di samping pelaksanaan program kelestarian bagi menjamin kesejahteraan alam sekitar dan membentuk komuniti lestari. – SM

(Visited 448 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button