Berita

Raja Muda lancar promosi masakan ‘Kurma Perlis’ di restoran milik anak Perlis di Krabi

Raja Muda lancar promosi masakan ‘Kurma Perlis’ di restoran milik anak Perlis di Krabi

‘Kurma Daging’ yang kini sudah sinonim dan dikenali sebagai salah satu signatur masakan Perlis bakal dinikmati oleh para pengunjung khususnya golongan pelancong dari luar negara di ‘Malaysia Krabi Restaurant’ milik seorang anak Perlis yang beroperasi di alamat 122 M.2 Tambun Ao Nang Ampuak Muang, Krabi, Thailand.

Pemiliknya, Suhayade Samsu yang turut mempunyai satu outlet kecil makanan di hadapan Masjid Al Munawwarah Ao Nang berkata, Kurma Daging ini akan menjadi masakan promosi baru selama dua minggu sebaik majlis pelancarannya sebelum dimasukkan secara tetap di dalam kad menu restoran apabila dicetak baru kelak.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkan promosi di restoran milik anak jati Kuala Perlis ini.

Pelancaran Masakan Kurma Daging pada ‘Perlis Food Promotion’ kali ini adalah sempena Program Ziarah Mahabbah Sempena Sambutan 100 Tahun Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kali ke 6 yang dianjurkan oleh pihak restoran bersama dengan MAIPs dan mendapat kerjasama Pejabat Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) Perlis, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Restoran Miza Kg. Gial Perlis.

Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, Setiausaha Kerajaan Negeri, Azman Mohd Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Hj Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Suhayade telah mengusahakan restoran ini bersama isteri, Khatijah Abd Hamid sejak empat tahun yang lalu.

“Saya juga akan menghidangkan kurma daging Perlis ini untuk dimakan dengan roti canai” katanya yang dibantu oleh 20 pekerja.

Beliau yang turut mengusahakan syarikat pelancongan juga berharap di masa hadapan akan dapat memperkenalkan satu pakej baru untuk membawa pelancong dari Krabi ke Kuala Perlis melalui Tammalang, Satun iaitu kampung halaman isteri beliau.

Dalam titah ucapan Tuanku Raja Muda menitahkan bahawa antara tiga tarikh menarik bagi pengunjung ke negei Perlis pada tahun ini ialah Perlis Marathon 2020 pada 4 April, Perkampungan Sunnah 7 dari 10-12 April dan Pertandingan Woodball Piala Dunia (WCWC) Perlis 2020 dari 24 hingga 30 Julai selain pelbagai aktiviti lain diaturkan sepanjang Tahun Melawat Malaysia (TMM) dan juga Sambutan 2 Dekad Pemerintahan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada kali ini.

Untuk rekod, sepanjang kunjungan ke beberapa kota sepanjang tahun 2019 yang lalu sahaja Tuanku Syed Faizuddin Putra telah berkenan membawa mesej bagi memperkenalkan lagi negeri ini melalui ‘Promosi Masakan Perlis’ yang diadakan di London (UK), Dubai (UAE), Tbilisi (Georgia) dan juga Shanghai (China).

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button