
Raja Muda, Raja Puan Muda Perlis hadir Majlis Hi Tea ‘Lewré Bespoke & Alta Laces
KUALA 24 Feb. – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menghadiri Majlis Hi Tea ‘Lewré Bespoke & Alta Laces’ yang berlangsung di Lewré Bespoke Galleria, Bangsar, Kuala Lumpur.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengasas merangkap Pengerusi Lewré Bespoke, Datuk Lewre Lew Fong Voon, serta Pengarah Ubrani Group, Datuk Ajay Ubrani.
Lewré Bespoke, jenama kasut mewah Malaysia yang diasaskan sendiri oleh Datuk Lewre Lew pada 1997, terkenal dengan pembuatan kasut wanita yang berkualiti tinggi dan direka khas. Jenama ini turut menawarkan perkhidmatan ‘made-to-order’ dan koleksi ‘ready to wear’ dengan kualiti dan keanggunan yang tersendiri.
Selain diiktiraf dengan pelbagai anugerah, Datuk Lewre Lew juga pernah mereka kasut untuk Duchess of Cambridge, Kate Middleton, semasa lawatannya ke Malaysia pada 2012.
Sementara itu, Alta Laces pula mempunyai kepakaran dalam penghasilan renda premium yang menjadi pilihan utama dalam dunia fesyen, busana pengantin, dan rekaan mewah. Kerjasama eksklusif antara Lewré Bespoke dan Alta Laces telah menghasilkan koleksi kasut istimewa yang dihiasi dengan jalinan halus.
Sepanjang majlis, Baginda berdua turut dipersembahkan dengan koleksi terbaharu daripada Lewré Bespoke dan Alta Laces. Koleksi eksklusif ini dihasilkan dengan fabrik berkualiti tinggi dan sentuhan seni tangan yang halus serta reka bentuk dan pelbagai warna yang elegan.
FOTO