
Raja Muda Perlis titah setiap usaha diambil MAIPs harus berpaksikan ihsan
ARAU 24 Feb. – Setiap usaha yang dijalankan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mestilah berpaksikan ihsan, iaitu kualiti terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab. Contoh terdekat adalah pengagihan zakat dan pengurusan wakaf yang mesti mencapai golongan sasaran dengan cara yang paling efisien, tersusun, berimpak tinggi dan memberi kesan positif kepada kehidupan mereka yang menerima sumbangan.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada seramai 300 orang asnaf sempena *Program Hijrah Minda MAIPs” yang berlangsung di Masjid Al-Barakah Jelempok, dekat Arau.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil,
Asnaf-asnaf terpilih pada kali ini adalah dari kalangan anak kariah Jelempok, Kg Sena, Ulu Pauh dan Kurung Anai. Masing-masing menerima RM700 setiap seorang. Jumlah penuh disumbangkan oleh MAIPs ialah RM210,000.
Terdahulu daripada itu para penerima menjalani pemeriksaan saringan kesihatan yang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri serta mendengar ceramah kas mengenai ‘Bahaya Najis Dadah’ oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan juga ‘Bangun Jiwa’ oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.