Raja, Raja Perempuan Perlis sambut Ulang Tahun Perkahwinan Ke-57
RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid menyambut hari ulangtahun perkahwinan yang Ke-57 pada hari ini (15 Februari).
Dipersembahkan ucapan tahniah dan pada masa yang sama memohon keberkatan dari Allah SWT agar memperkukuhkan lagi rasa kasih sayang, barakah, kemesraan, kesenangan dan semua kebaikan kepada ikatan perkahwinan Baginda berdua.
Semoga Allah memelihara Tuanku Syed Sirajuddin dan Tuanku Tengku Fauziah beserta anakanda-anakanda dan cucunda-cucunda Baginda berdua sentiasa dalam keadaan sihat dan sejahtera, dikasihi rakyat dan keluarga, kuat iman dan teguh pegangan, serta sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan hidup yang berpanjangan.
Tuanku Syed Sirajuddin dan Tuanku Tengku Fauziah merupakan panduan dan contoh kepada sekalian rakyat jelata negeri ini sebagai sebuah institusi kekeluargaan dengan sifat kebijaksanaan, toleransi, bertanggungjawab dan saling menyayangi antara satu sama lain.
Baginda berdua juga diraikan dalam satu majlis santapan malam di Wisma Perwira, Markas 30 Briged, Kem 30 Infantri Bukit Cowder, Mata Ayer, malam semalam.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hashim serta para pegawai kanan.
Turut berangkat ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda Baginda berdua iaitu Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail. – SM
BACA Rumah Hijau, rumah lahir Raja Perlis kini di Muzium Kota Kayang