
Malaysia ada asas kukuh untuk hadapi tarif Trump
MALAYSIA mempunyai asas yang kukuh dalam menghadapi tarif timbal balik sebanyak 24 peratus yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Bekas Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Dr. Budiman Mohd Zohdi berkata, berbanding negara-negara ASEAN yang lain, tarif yang dikenakan ke atas Malaysia juga boleh dikatakan rendah.
Tetapi kata beliau, sudah tentu langkah berhati-hati perlu diambil termasuk sentiasa cermat dalam melakukan sebarang bentuk tindak balas.
“Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa kita punya dasar asas yang kukuh.
“Sudah tentu, kita kena mengambil langkah yang berhati-hati dan cermat dalam melaksanakan tindak balas terhadap kenyataan tersebut,” katanya.
AS telah mengenakan tarif timbal balik 24 peratus ke atas Malaysia apabila Trump mengumumkan langkah-langkah baru yang meluas sebagai sebahagian daripada tindakan ‘Hari Pembebasan’ beliau.
Selain Malaysia, negara-negara ASEAN lain turut dikenakan tarif sama dengan Vietnam, Kemboja dan Thailand antara yang tertinggi.
Bagaimanapun, AS membuat pusingan U selepas meluluskan penangguhan tarif timbal balik selama 90 hari kerana menerima permintaan daripada negara terbabit yang ingin menjalankan rundingan.
Kata budiman, sudah tentu, kita kena mengambil langkah yang berhati-hati dalam melaksanakan tindak balas terhadap kenyataan tersebut.
“Juga tindakan memberikan ataupun Datuk Seri Tengku Zafrul menjadi ketua petugas untuk mengumpulkan maklumat itu adalah suatu tindakan yang perlu.
“Ini kerana produk-produk seperti optik, getah dan sebagainya ada hubung kait secara terus dengan barangan yang dikenakan cukai tersebut.
“Rakyat secara keseluruhan, sudah tentu kesan secara langsung itu minimum, tetapi mereka yang terlibat dalam perindustrian, yang ada kaitan dengan dasar yang dikemukakan itu mahu tidak mahu tentu akan menerima kesan,” katanya. – SM