
Anwar iringi kepulangan Presiden China, Xi Jinping
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini mengiringi kepulangan Presiden China, Xi Jinping selepas melakukan lawatan rasmi tiga hari ke negara ini.
Anwar menyifatkan lawatan itu sebagai sangat bersejarah dan penuh bermakna kepada Malaysia.
“Mengiringi kepulangan Presiden China Xi Jinping dan delegasi usai lawatan negara yang bersejarah dan penuh makna ke Malaysia. Lawatan ini mengukuhkan lagi hubungan persahabatan dan kerjasama strategik Malaysia-China yang sekian lama terjalin, berasaskan saling percaya, saling menghormati dan semangat ke arah keamanan serta kemakmuran serantau.
“Malaysia berbesar hati menerima kunjungan ini, dan percaya hasil pertemuan serta pertukaran pandangan yang terbina akan membuka jalan kepada kerjasama yang lebih mendalam dan manfaat bersama untuk rakyat kedua-dua negara.
“Bak kata pepatah Melayu, bagai aur dengan tebing — saling menyokong, saling memperkuat. Dan dalam semangat persahabatan (友好), hubungan ini akan terus dipelihara dengan keikhlasan dan rasa hormat yang mendalam.
“Semoga hubungan Malaysia-China terus mekar dan teguh demi masa depan yang lebih cerah. Terima kasih atas kunjungan bersejarah ini. Sampai jumpa lagi,” katanya.