Luar Negara

Perut kanak-kanak 3 tahun penuh cacing perasit

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dikejarkan ke hospital selepas mengalami perut membesar yang luar biasa, hanya untuk ditemui penuh dengan cacing parasit, insiden mengejutkan itu berlaku di Jamber Timur, Indonesia

Anak kecil itu dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital RSD dr. Soebandi selepas mengadu sakit perut yang berpanjangan, sukar buang air besar selama seminggu, muntah-muntah, dan sesak nafas. Pemeriksaan lanjut oleh pasukan perubatan menemui ususnya dipenuhi cacing jenis Ascaris lumbricoides – atau lebih dikenali sebagai cacing gelang.

Lebih mengejutkan, cacing-cacing tersebut berukuran sehingga 35 sentimeter panjang dan membentuk gumpalan yang menyumbat tiga bahagian usus kecil kanak-kanak malang itu.

4 Doktor Terlibat Dalam Pembedahan Kecemasan

Pasukan perubatan yang terdiri daripada doktor bedah kanak-kanak, pakar pediatrik, dan parasitologi klinikal menjalankan pembedahan segera untuk mengeluarkan gumpalan cacing. Menurut laporan, usus kanak-kanak itu kelihatan menonjol seperti beg yang penuh dengan cacing hidup.

Selepas pembedahan berjaya dilakukan, kanak-kanak itu kini diberi rawatan susulan termasuk ubat anti-parasit bagi memastikan tiada lagi cacing tertinggal dalam sistem tubuhnya.

Punca Jangkitan – Main di Sungai & Minum Air Mentah

Menurut siasatan awal, keluarga kanak-kanak itu sebelum ini tinggal di Bali, di mana anak tersebut sering bermain di kawasan sungai tanpa memakai kasut serta meminum air yang tidak dimasak. Amalan ini dipercayai menjadi punca utama jangkitan cacing parasit.

Amaran Pakar – Cacing Boleh Bawa Maut Jika Tidak Dirawat

Kes ini menjadi peringatan kepada ibu bapa agar tidak memandang ringan isu kebersihan dan sanitasi. Cacing jenis ini boleh masuk ke dalam tubuh melalui tanah yang tercemar dengan najis dan membiak di dalam sistem pencernaan jika tidak dicegah atau dirawat awal.

Pakar kesihatan mengesyorkan supaya kanak-kanak diberikan ubat cacing secara berkala, serta ibu bapa perlu memastikan anak mereka memakai alas kaki ketika bermain di luar dan hanya meminum air yang dimasak.

“Jangan Tunggu Sampai Parah” – Pesanan Doktor

“Kita harap ibu bapa lebih peka terhadap gejala-gejala awal seperti perut membesar, sembelit, atau anak sering mengadu sakit perut. Jangan tunggu sampai parah baru mendapatkan rawatan,” ujar salah seorang doktor yang terlibat dalam kes ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button