Nasional

PVATM Perlis kutip RM50,000 kempen Hari Pahlawan

Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Perlis menyasarkan kutipan minimum berjumlah RM50,000 sempena ‘Kempen Kutipan Tabung Rayuan Hari Pahlawan 2020’ yang bermula pada bulan Oktober baru-baru ini bagi Zon Utara dan akan berakhir pada pertengahan bulan Disember yang akan datang nanti.

Hasil kutipan itu kelak akan digunakan untuk diberi bantuan kepada Veteran Kelainan Upaya (VKU) dan Veteran menghidap penyakit kronik yang terlantar, balu veteran dalam kategori OKU, bantuan segera dalam bentuk wang tunai kepada veteran dan balu yang terlibat dalam musibah atau bencana alam seperti ribut taufan, kebakaran rumah dan banjir serta bantuan segera peralatan perubatan yang asas kepada VKU, Veteran dan balu yang cacat seperti tongkat dan kerusi roda jika perlu.

Selain daripada itu, bantuan kebajikan tahunan juga akan diberikan kepada anak-anak Veteran yang dalam kategori OKU serta memberi bantuan pengurusan jenazah bekas tentera kepada waris yang menguruskan jenazah mereka.

Demikian dipersembahmaklumkan oleh Naib Yang DiPertua PVATM Negeri Perlis, Mejar (B) Mohd Noor Diwi kepada Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena pelancaran ‘Kempen Kutipan Tabung Rayuan Hari Pahlawan 2020 Peringkat Negeri Perlis’.

Turut hadir mengiringi baginda ialah Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak.

Majlis tersebut diadakan sempena program ‘MAIPs Peduli Bilangan Ke 66 bagi tahun 2020’ anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang bermula dan berakhir di perkarangan Kompleks Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis di Behor Pulai, Kangar.

Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah pula menitahkan bahawa program pada kali ini dianjurkan khususnya bagi menghargai jasa para Veteran Angkatan Tentera Malaysia yang pada ketika mereka masih berkhidmat sentiasa rela berkorban dan bersedia demi untuk mempertahankan kedaulatan negara kita yang tercinta.

Tiga keluarga asnaf terpilih menerima sumbangan bantuan agihan zakat MAIPs daripada baginda pada kali ini.

Untuk rekod, jumlah kekuatan ahli PVATM Negeri Perlis pada ketika ini adalah seramai lebih kurang 3,500 tidak termasuk balu dan juga isteri serta anak. Di negeri Perlis terdapat 15 buah cawangan mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri yang diurus selia oleh Ketua Cawangan masing-masing.

(Visited 595 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button