Auto TravelBerita AutoEkonomi

Puspakom hanya menerima transaksi tanpa tunai mulai 1 Julai

SEMUA transaksi pembayaran untuk semua jenis pemeriksaan kenderaan di Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) akan berjalan tanpa tunai mulai 1 Julai.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Shukor Ismail berkata pelaksanaan transaksi tanpa tunai itu akan dikuatkuasakan di semua 54 pusat pemeriksaan agensi itu di seluruh negara mulai tarikh itu.

Beliau berkata pelanggan boleh membuat pembayaran dalam talian melalui e-dompet, kad debit atau kad kredit.

Beliau juga menambah bahawa Puspakom menerima pembayaran tanpa tunai melalui pelbagai pilihan e-dompet termasuk e-dompet PUSPAKOM, Maybank QRPay, GrabPay, Touch ‘n Go eWallet, Boost, WeChat Pay dan Alipay di semua pusat pemeriksaannya di seluruh negara.

“Sejak April tahun lalu, pembayaran tanpa tunai, serta pengeluaran laporan dan resit pemeriksaan elektronik tanpa kertas, telah dilaksanakan. Bagaimanapun, pembayaran tunai masih dibenarkan ketika itu memandangkan masih terdapat sebilangan kecil pelanggan yang tidak memiliki e-dompet, debit atau kad kredit,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis (9 Jun).

“Bagaimanapun, data menunjukkan lebih 90% pelanggan Puspakom kini menggunakan kaedah transaksi tanpa tunai di semua cawangan kami. Ini jelas menunjukkan pembayaran tanpa tunai adalah satu pilihan kerana ia lebih mudah, cepat dan selamat dari segi kebersihan semasa pandemik sekarang,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Puspakom di talian 03-5101 7000 atau Live Chat di pautan www.puspakom.com.my atau mengikuti Facebook rasmi Puspakom Sdn Bhd. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button