Ekonomi

Bank Rakyat santuni 970 Keluarga Malaysia, sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai

BANK RAKYAT menerusi Program Rindu Aku Mau Kaamatan dan Rindu Mok Gawai menyalurkan bantuan makanan asas kepada 970 keluarga yang kurang berkemampuan di sekitar Sabah dan Sarawak bersempena dengan sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai baru-baru ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, inisiatif ini melibatkan warga kerja daripada pelbagai cawangan serta Bank Bergerak Bank Rakyat bagi menyampaikan bantuan keperluan dan makanan asas kepada mereka yang dikenal pasti terutamanya di kawasan pedalaman.

Antara makanan asas yang disumbangkan termasuk gula, garam, tepung, biskut, beras, sardin, teh dan telur.

Beliau berkata, antara penerima manfaat inisiatif ini di Sabah ialah keluarga daripada Kota Kinabalu, Likas, Tawau, Sandakan, Keningau, Labuan, Lahad Datu, Penampang, Kota Belud, Kota Marudu, Putatan, Semporna dan Beaufort.

Di samping itu, jangkauan komuniti ini turut memanfaatkan masyarakat di sekitar Sarawak yang terdiri daripada daerah Satok, Simpang Tiga, Miri, Bintulu, Sarikei, Sri Aman, Sibu, Kota Samarahan, Mukah, Matang Jaya, Kapit, Limbang, Kota Sentosa dan beberapa daerah lain.

“Bank Rakyat mengambil inisiatif ini untuk membantu meringankan beban kos sara hidup mereka bagi mendapatkan bekalan makanan dan keperluan asas yang diperlukan agar Pesta Kaamatan dapat disambut dengan penuh keceriaan selepas dua tahun tiada sambutan Kaamatan diadakan.

“Menerusi pendekatan ini, Insya-Allah kita dapat mengukuhkan amalan sentiasa bersyukur, prihatin dan berkongsi rezeki yang mana seiring dengan aspirasi ‘Keluarga Malaysia’ dan pada masa yang sama mengeratkan silaturahim kami dengan komuniti di sekitar kawasan kami beroperasi.

“Saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan dan kegembiraan kepada mereka yang dihimpit kesukaran bagi menyambut Pesta Kaamatan,” kata Dr. Mohammad Hanis. – SM

(Visited 311 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button