Pusat Islam KUIPs agih Bakul Ramadan kepada pelajar, kakitangan
PUSAT Islam Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) telah mengagihkan sumbangan Bakul Ramadan kepada pelajar dan juga kakitangan di universiti ini.
Ia melibatkan 100 pelajar dan 82 kakitangan termasuk pekerja pembersihan dan 12 pegawal keselamatan swasta.
Rektornya, Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle telah menyampaikan sumbangan yang berupa keperluan dapur seperti beras, gula dan lain-lain lagi.
“Saya yakin dengan sumbangan ini bukan sahaja dapat menyemarakkan Ramadan yang dinantikan ini malah dapat membantu pelajar dan kakitangan membuat persediaan bulan mulia ini,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya beliau mengajak semua pelajar dan staf bersama-sama memanjatkan kesyukuran kerana masih dapat bertemu Ramadan kali ini.
“Alhamdulillah dan bersyukur kepada Allah SWT kerana masih mengizinkan kita untuk bertemu semula dengan bulan penuh mulia, bulan penuh keberkatan, bulan tarbiah dan bulan keazaman untuk kita semua,” ujarnya.
Katanya, 1 Ramadan menjanjikan kita dengan pelbagai kenikmatan dan ganjaran yang akan dibawa ke akhirat kelak dan seharusnya kita memanjatkan kesyukuran kerana kita masih dapat bertemu Ramadan ini iaitu bulan yang diturunkan al-Quran.
“Bulan ini juga bulan mewajibkan kita berpuasa kerana tidak berlaku dilain-lain bulan sambil mengimarahkan program-program sepanjang bulan ini,” katanya.
Sementara itu Pengarah Pusat Islam KUIPs, Ustaz Mohd Roesfan Sazzerin Mohd Sofi berkata, program Ihya Ramadan yang dianjurkan ini diadakan bagi menghayati kedatangan bulan Ramadan dengan penuh ketaqwaan dan kesyukuran disamping menghayati pengertian taqwa dan membudayakan al-Quran dalam praktikal kerja.
“Melalui program ini kita mengharapkan warga KUIPs dapat mewujudkan budaya kebajikan dalam gerak kerja dan rutin harian termasuk mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat,” sambungnya lagi. – SM