Nasional

PM Anwar tarik lebih banyak perniagaan Jerman untuk melabur di Malaysia

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan lebih banyak perniagaan Jerman untuk memanfaatkan lokasi Malaysia yang strategik di Asia Tenggara dan infrastrukturnya yang dibangunkan, sebagai destinasi pelaburan pilihan.
“Dalam Kesatuan Eropah (EU), sudah tentu, Jerman adalah rakan dagang terbesar kami dan anda telah melabur jumlah yang cukup besar iaitu hampir US$15 bilion (RM70.24 bilion),” katanya dalam sidang akhbar bersama rakan sejawatnya Canselor Olaf Scholz di Canselori Persekutuan, Berlin seperti yang dipetik dari BERNAMA.
Beliau memberikan contoh Infineon Technologies AG dan banyak syarikat terkemuka lain di Jerman yang telah memilih Malaysia sebagai hab penting, pusat kecemerlangan dan pusat latihan.
Sehubungan itu, katanya Malaysia berharap kepada kerjasama yang lebih luas, bukan sahaja dalam meningkatkan perdagangan dan pelaburan, malah untuk memperkukuh hubungan dua hala dalam semua bidang.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia berminat untuk memberi fokus terhadap latihan pelajar.
“Kami mempunyai kira-kira 1,000 pelajar di seluruh Jerman untuk menjalani latihan di syarikat Jerman sebagai pendedahan awal kepada mereka,” katanya.
Perdana Menteri berkata, Putrajaya turut menyambut baik minat Berlin dari segi pelaburan baharu dalam tenaga boleh baharu (TBB) dan teknologi hijau.
“TBB telah menjadi tumpuan kami pada masa ini dan kami bertuah kerana mempunyai kekuatan dalam tenaga solar, tenaga hijau dan kukuh dari segi kapasiti kami untuk mengeksport TBB,” katanya.
Menurut Anwar, Malaysia mengeksport TBB ke Nusantara, iaitu ibu negara baharu Indonesia serta menerusi kabel di bawah laut ke Singapura.
“Oleh itu, terdapat potensi besar yang anda dapat lihat melalui pertumbuhan pesat pusat data dan AI (kecerdasan buatan) ke rantau ini, terutama di Malaysia,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anwar sekali lagi menegaskan bahawa Malaysia optimis untuk mencapai pertumbuhan ekonomi antara 4 peratus dan 5 peratus pada 2024, berdasarkan asas kukuh iaitu kerangka ekonomi MADANI dan pembaharuan yang digariskan menerusi Belanjawan 2024 Malaysia.
Beliau turut menekankan bahawa kerangka ekonomi MADANI akan memanfaatkan kekuatan semula jadi Malaysia dalam meningkatkan daya saing negara, dengan mengutamakan kepada langkah kemampanan fiskal, amalan tadbir urus yang baik dan penyampaian perkhidmatan yang cekap.
Terdapat lebih 700 syarikat Jerman berpangkalan di Malaysia yang mewujudkan sejumlah 65,000 pekerjaan.
Jerman adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam kalangan anggota EU sejak tahun 2000 manakala Malaysia merupakan rakan perdagangan terbesar bagi Jerman dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Pada 2023, nilai dagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada RM63.45 bilion (USD13.90 bilion) berbanding RM59.87 bilion (USD13.62 bilion) pada 2022. – SM
(Visited 21 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button