Auto TravelBerita Auto

PROTON memperkenalkan Exora 2023

PROTON secara rasmi melancarkan Proton Exora 2023 dengan ciri-ciri diperbaharui. Menurut PROTON, model kenderaan pelbagai guna (MPV) itu kini tampil dengan reka bentuk baharu, ruang lebih besar selain ciri-pintar dan keselamatan yang dipertingkat.

Sejujurnya, sekilas pandang ia masih kelihatan sama seperti model Proton Exora yang sedia ada dipasaran pada ketika ini. Ramai mengharapkan perubahan ketara pada muka hadapan dan bahagian belakang pada model ini sebelum ia dilancarkan. Mungkin ini adalah kemas kini terakhir sebelum PROTON memperkenalkan MPV yang menggunakan platform lain.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Roslan Abdullah, “Proton Exora, MPV buatan Malaysia pertama yang telah direka dan dibina dengan memikirkan keperluan rakyat Malaysia. Kemas kini terbaru pada Proton Exora 2023 yang merupakan produk terkemuka dalam kelasnya ini telah dinaik taraf dan membuatkan ianya lebih baik untuk semua pemandu dan juga penumpang, merentasi pelbagai aplikasi dengan fokus untuk mengukuhkan ciri kuasa, ruang dan nilai.”

“Dengan lebih 180,000unit terjual sepanjang 13 tahun, Proton Exora adalah MPV segmen C dengan penjualan terbaik setakat ini, sehingga hari ini masih mengekalkan kedudukannya.” katanya lagi.

Berikut pembaharuan serta naiktaraf minor dan tidak melibatkan perubahan mekanikal yang diterima oleh Proton Exora (2023):

  • Exora kini didatangkan dengan logo harimau Proton baharu di depan dan belakang
  • Lampu nyala siang LED, rim aloi 16-inci dua rona warna, skirtingsisi dan spoiler belakang bersama kemasan bumbung hitam
  • Kemasan kulit pada kerusi, stereng dan perehat tangan bahagian pemandu
  • Pendingin hawa dengan penapis Kabin N95 didatangkan standard
  • Monitor skrin sentuh 7-inci dengan ciri Hi Proton seperti mana yang ditawarkan pada model Exora RC pada 2019. Sistem ini mempunyai sambungan telefon pintar bagi peranti Android serta 2-port USB

Proton Exora masih lagi menggunakan enjin pengecas turbo 1.6 liter Campro yang menjana kuasa 138hp dan tork 205Nm bersama transmisi CVT.

MPV itu dilengkapi dengan dua beg udara SRS depan, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Brek Elektronik (EBD), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS).

Boleh didapati dengan lima pilihan warna Snow White, Indiana Grey, Rosewood Maroon, Ruby Red dan Cocoa Grey, berikut harga Exora (2023):

  • 1.6T Executive: RM62,800 (Semenanjung Malaysia) dan RM65,300 (Malaysia Timur)
  • 1.6T Premium: RM69,800 (Semenanjung Malaysia) dan RM72,300 (Malaysia Timur)

Artikel berkaitan > Proton akan memperkenalkan tiga model baharu menjelang 2024

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button