Uncategorized

Piala Tun Ali 2022: Regu, beregu Melaka ke separuh akhir

Pengalaman menjadi jarak pemisah buat Melaka melangkah dengan bergaya ke separuh akhir selepas berhempas pulas menewaskan ATM 2-1 dalam aksi suku akhir Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali 2022 di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bukit Serindit di sini malam tadi.

Kehadiran Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam menjadi suntikan semangat buat gandingan tiga pemain kebangsaan, Mohammad Syahir Mohd. Rosdi, Mohd. Muqlis Borhan dan Mohd. Khairol Zaman Hamir Akhbar bertarung hampir satu jam 40 minit untuk menang.

Tuan rumah dikejutkan oleh gandingan ATM dibarisi Muhammad Hairul Hazizi (tekong), Muhammad Afifuddin Mohd. Razali (apit kanan) dan Norfaizzul Abd. Razak (apit kiri) apabila tewas di set pertama 15-21.

Begitupun, semangat kental pemain Melaka dibantu sorakan penonton yang memenuhi setiap ruang dewan berkenaan bangkit untuk mencatat kemenangan 21-19 dan terus cemerlang menang 21-18 di set penentuan.

Aksi pemain Melaka sewaktu bertemu ATM di suku akhir Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali 2022 di Dewan Bola Keranjang MBMB Bukit Serindit, Melaka.

Dalam aksi separuh akhir acara regu esok bermula pukul 3.00 petang, Melaka akan berdepan Pulau Pinang manakala Johor akan berdepan Negeri Sembilan.


Pemain tekong kebangsaan, Mohammad Syahir berkata, semangat tidak putus asa menjadi kekuatan untuk mereka bangkit selepas tewas di set pertama untuk menang dua set lagi sebelum melangkah ke separuh akhir.

“Ini perlawanan yang cukup mendebarkan kerana setiap servis amat berharga. Saya akui pada set pertama servis saya sering sangkut dijaring.

“Namun pada set kedua saya keluar sekejap menenangkan diri dan bila masuk semula akhirnya saya mendapat semula sentuhan servis mencari mata,” ujarnya.

Sementara itu dalam acara beregu, Melaka turut menempah tempat ke separuh akhir apabila gandingan killer import dari Thailand, Loesak Kuram-Muhammad Faizulhairy Osman tidak berdepan masalah menewaskan Pulau Pinang menerusi kemenangan 21-16, 21-19 di suku akhir.

Dalam saingan separuh akhir esok Melaka akan berdepan ATM yang turut mara selepas mudah mengetepikan cabaran Johor dengan keputusan 21-15, 24-22. Manakala Perak pula akan berdepan Kuala Lumpur dalam satu lagi aksi separuh akhir. – SM

Jadual
Separuh Akhir
Sabtu
Acara Beregu
Perak lwn Kuala Lumpur (3.00 petang)

ATM lwn Melaka (4.00 petang)

Acara Regu
Johor lwn Negeri Sembilan (8.00 malam)

Melaka lwn Pulau Pinang (9.00 malam)

(Visited 2,052 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button