Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa proses melahirkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat perlu bermula seawal sekolah rendah sehinggalah ke institusi pengajian tinggi, bak kata pepatah ”melentur buluh biarlah dari rebung”.
Oleh itu, peranan ahli akademik di institusi pengajian tinggi (IPT) perlu menunjukkan contoh teladan yang baik, terutamanya ahli akademik wanita.
Atas dasar inilah, Yayasan Tuaku Fauziah (YTF) akan terus berusaha memperkasakan golongan wanita di IPT untuk menjadi pemimpin yang berdaya saing, tegas dalam menjalankan tugasan mendidik mahasiswa, bukan sekadar memiliki ijazah tetapi apa yang lebih penting mempunyai pemikiran yang matang.
Demikian titah baginda ketika berkenan merasmikan Pembukaan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah 2023 – “Women In Search of Excellence” dengan tema yang dipilih khas iaitu “Aspirasi Wanita Ke Arah Memartabatkan Perpaduan Dalam Kalangan Mahasiswa Di Institusi Pengajian Tinggi” pagi tadi.
Webinar bulanan YTF yang merupakan ke-19 pada kali ini dianjurkan oleh Kementerian Perpaduan Negara melalui Institut Kajian Dan Latihan Integrasi Nasional (IKLIN) dengan kerjasama Institut Pengajian Sains Sosial (IPSSS) Universiti Putra Malaysia (UPM).
Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Penasihat DiRaja YTF, “Tidak dapat dinafikan peranan golongan wanita yang semakin signifikan dalam mendepani cabaran kehidupan era globalisasi dan digitalisasi masa kini,”.
Di samping itu, titah Baginda ebih separuh daripada jumlah staf akademik yang mempunyai kelulusan Doktor Falsafah (PhD) di institusi pengajian tinggi awam adalah wanita.
“Ini menunjukkan golongan wanita semakin dikenali sebagai ahli profesional yang berkelayakan tinggi dan semakin diiktiraf di atas pencapaian mereka dalam organisasi dan negara,” titah Raja Muda.
Terdahulu daripada itu Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menyampaikan ucaptama disusuli ucapan oleh Naib Canselor UPM, Datuk Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman.
Manakala titah perasmian penutupan webinar itu pula disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pengerusi YTF pada sebelah petang. – SM
Arikel berkaitan > Raja Muda serah RM200,000 sumbangan rakyat Perlis kepada Turkiye, Syria