Politik

Projek Kembara Wangsa diteruskan, majukan pelancongan

PERIKATAN Nasional akan memperkasakan penglibatan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk memberi input mengenai pembangunan sektor pelancongan.

Calon N37 Johor Lama, Mohamad Alias Rasman berkata, kenyataannya itu adalah seperti mana ikrarnya selain meneruskan pelaksanaan Projek Kembara Wangsa yang terhenti pada ketika ini.

Calon N37 Johor Lama, Mohamad Alias Rasman menyantuni individu yang ditemui dalam usaha memperkenalkan diri sebagai calon Perikatan Nasional pada PRN Johor.

Sebagai anak jati DUN Johor Lama, Mohamad Alias berkata, beliau dapat melihat betapa banyak dan bernilainya produk-produk warisan sejarah serta khazanah alam di DUN Johor Lama yang boleh diketengahkan kepada pengunjung.

Jika ia berhasil, kata Mohamad Alias, ia sekali gus akan menjana pendapatan serta membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Projek Kembara Wangsa perlu disambung semula dengan lebih giat berdasarkan input yang lebih tepat serta terperinci yang disediakan secara profesional oleh pihak UTM yang mendapat kerjasama sebuah universiti di United Kingdom,” katanya.


Justeru katanya, adalah penting para pengundi DUN Johor Lama mengundi calon PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Beliau berkata, Sungai Johor yang mengalir pada jarak lebih 60 kilometer dalam Daerah Kota Tinggi adalah asas kepada kebanyakan produk pelancongan khususnya melibatkan keunikan khazanah alam serta warisan sejarah di DUN Johor Lama.

Calon N37 Johor Lama, Mohamad Alias Rasman bertanya khabar, “apa khabar”.

Jelas beliau, di Sungai Johor, terdapat pelbagai produk seperti kunang-kunang, udang galah serta pelbagai spesies ikan air tawar termasuk baung di sebelah hulu manakala spesies ikan laut di hilir yang semuanya menjadi tumpuan kaki pancing.

“Jadi kemudahan penginapan, jeti dan tempat makan akan disusun semula supaya lebih ramai kaki pancing dapat datang ke DUN Johor Lama,” katanya.

Bercakap tentang produk warisan, Mohamad Alias berkata, bagi produk berasaskan warisan sejarah, di sebelah kiri tebing Sungai Johor menghala ke kuala memang terdapat banyak tinggalan sejarah dan makam lama.

Antaranya, Makam Laksamana Bentan, Makam Sultan Mahmud, Makam Cik Siti Aminah (di Tembioh) dan Makam Tiga Beranak (Bukit Seluyut), katanya.

“Warisan sejarah turut ada di Kampung Johor dan Teluk Sengat. Jadi, aspirasi PN adalah mengutamakan kerancakan sektor pelancongan bagi mempercepatkan proses pemulihan ekonomi Johor,” katanya sambil menambah, ia turut menepati slogan Daerah Kota Tinggi sebagai Daerah Pelancongan Bersejarah.

Calon N37 Johor Lama, Mohamad Alias Rasman memperkenalkan dirinya kepada bakal pengundi.

Beliau juga yakin PN mampu mempertahankan kerusi DUN Johor Lama berdasarkan sokongan padu pengundi baharu dan Undi 18 selain perubahan ketara pengundi sedia yang dilihatnya semakin menerima aspirasi perjuangan politik berintegriti, bersih, cekap dan prihatin yang didokong Pengerusi parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Untuk rekod, terdapat enam kawasan Felda di DUN Johor Lama iaitu Felda Air Tawar 2, Felda Air Tawar 3, Felda Pasak, Felda Lok Heng Selatan, Felda Lok Heng Barat dan Felda Lok Heng Timur.

Sehubungan itu, Mohamad Alias berkata, komuniti Felda di DUN Johor Lama juga berpeluang menikmati kehidupan lebih sejahtera dan pendapatan lebih baik serta peluang pekerjaan  baharu menerusi program yang disusun khusus untuk mereka sekiranya mandat diberi oleh para pengundi kepada PN untuk menerajui Kerajaan Negeri Johor selepas 12 Mac ini. –  SM

(Visited 87 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button