Nasional

Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia terima lebih 65,000 permohonan

Kerajaan menerima 65,898 permohonan tablet di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi fasa kedua dalam masa sebulan, sejak ia mula dibuka pada 1 Ogos lalu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata daripada jumlah tersebut sebanyak 45,341 permohonan layak menerima tablet manakala 20,557 permohonan sedang diproses.

“Kita mempunyai seramai 1.6 juta keseluruhan pelajar, bagaimanapun kalangan pelajar B40 ada lebih 300,000. Jadi kita minta pelajar yang layak dan belum lagi memohon supaya berbuat demikian kerana kita ada sehingga 30 September ini untuk proses permohonan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bangunan Akademik dan Pentadbiran, Bangunan Perpustakaan Al-Wathiqu Billah, Taman Rimba Ilmu Tanah Bris (TRIBE) dan ‘Agropreneur Incubator Park’ (AIP) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Besut,  hari ini.

Noraini berkata, pemberian tablet jenama Samsung itu bergantung kepada permohonan memandangkan terdapat pelajar yang tidak mengemukakan permohonan kerana sudah mempunyai komputer riba atau tablet sendiri.


(Visited 55 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button