Ekonomi

Arus globalisasi, kemajuan, pengkomersialan tingkatkan permintaan produk Halal

PASARAN Halal dijangka berkembang daripada RM8.8 trilion (USD2.09 trilion) seperti yang dilaporkan tahun lepas kepada hampir RM14 trilion (USD3.27 trilion) menjelang 2028 berdasarkan ramalan Petunjuk Ekonomi Islam Global.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, konflik geopolitik serta sekatan perjalanan yang masih dikuatkuasakan di negara-negara tertentu telah mengganggu pengeluaran yang mengakibatkan kelewatan penghantaran.

Meskipun begitu, Perdana Menteri berkata, dijangkakan bahawa impak luar sebegini hanya bersifat sementara kerana terdapatnya peningkatan permintaan produk Halal oleh komuniti antarabangsa dan juga peningkatan sektor e-Dagang yang didorong oleh digitalisasi.

“Justeru operasi perniagaan pada masa kini perlu dijalankan dengan menggunakan kaedah dan pendekatan terkini.  Ia adalah suatu kemestian dan bukan lagi satu pilihan,” kata Ismail Sabri dalam ucapan sempena perasmian Pameran Halal Antarabangsa Malaysia Ke-18 (MIHAS) “Mempelbagaikan Potensi Halal” di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC) Kuala Lumpur, hari ini.

Ismail Sabri berkata, transformasi dan kepelbagaian dalam industri Halal membolehkan perdagangan menjadi lebih berdaya saing dan seterusnya membantu memulihkan ekonomi.


Oleh itu, beliau turut menyifatkan penganjuran MIHAS sebagai satu testimoni kepercayaan rakyat terhadap keberkesanan strategi Kerajaan dalam memacu pembangunan dan inovasi industri Halal di Malaysia dan seterusnya memperkasakan lagi jenama Halal Malaysia di peringkat antarabangsa.

 

Dalam ucapannya, Ismail Sabri menambah, peningkatan hasil jualan daripada pameran perdagangan bertaraf antarabangsa seumpama MIHAS dari tahun ke tahun akan memberi kesan limpahan kepada sektor berkaitan Halal dan secara tidak langsung menyumbang kepada kejayaan syarikat-syarikat Malaysia, khususnya pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Peningkatan jualan sektor Halal ini akhirnya akan melonjakkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di samping membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada masyarakat Malaysia untuk membawa industri Halal ke peringkat antarabangsa,” ujar beliau.

Perdana Menteri berkata, beliau turut difahamkan bagi pameran kali ini, terdapat tiga komponen utama MIHAS 2022 iaitu Pertama, Pameran Produk dan Perkhidmatan Halal; Kedua, Program Penyumberan Antarabangsa (INSP); Ketiga, Hab Pengetahuan.

Untuk rekod, MIHAS edisi ke-18 ini menampilkan pameran secara fizikal dan maya, sesi pemadanan perniagaan dengan teknologi kecerdasan buatan (atau AI), ruang interaksi maya, dan sesi perkongsian serta persidangan secara langsung.

Sesi Hab Pengetahuan pada tahun ini memperincikan peluang di pasaran eksport, isu kemampanan Halal serta penggunaan teknologi semasa agar sentiasa relevan dalam ekosistem Halal global.

Ismail Sabri berkata, keupayaan menganjurkan MIHAS ke-17 secara maya tahun lepas berjaya mencatatkan hasil jualan eksport sebanyak RM2.13 bilion.

“Ia sekali gus meletakkan MATRADE di tempat pertama bagi “Penggunaan Teknologi Maklumat Terbaik” pada majlis penganugerahan ‘World Trade Promotion Organization 2022’,” kata Ismail.

Beliau juga berkata, Halal sesuai untuk semua pengguna tanpa mengira bangsa dan agama kerana ia berkait rapat dengan jaminan kualiti, pemuliharaan persekitaran, integriti dan ketelusan data serta amalan perniagaan yang lestari.

“Halal tidak tertakluk kepada penyediaan makanan dan minuman sahaja tetapi ia juga sesuai diaplikasikan dalam pelbagai sektor industri dan perkhidmatan.

“Konsep Halal terbukti bersifat sejagat untuk diguna pakai oleh semua dan peluang bagi pembangunan industri Halal sentiasa terbuka luas berikutan populasi Muslim global kini mencecah 1.9 bilion pada tahun lepas,” katanya. – SM

(Visited 34 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button