Nasional

Program didik hibur, antarabangsa antara pengisian DidikTV

BEBERAPA program pendidikan yang berteraskan kurikulum dan kokurikulum persekolahan berkonsep didik hibur termasuk antarabangsa akan mengisi saluran DidikTV.

Saluran DidikTV akan diperkenalkan KPM pada 17 Februari nanti dan bersiaran selama 17 jam setiap hari bermula pukul 7 pagi.

Inisiatif penerbitan saluran pendidikan itu dilaksanakan bagi meningkatkan akses kepada pedidikan berkualiti bagi semua murid di seluruh negara.

Ini kerana sebelum ini terdapat pelbagai aduan dan cadangan diutarakan oleh ramai pihak berhubung kualiti pendidikan ketika penutupan sekolah termasuklah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR).

Pelbagai masalah timbul dalam melaksanakan alternatif itu seperti kelengkapan untuk akses kepada PdPR, capaian internet serta kekangan bagi ahli keluarga yang ramai.

“DidikTV KPM akan menyiarkan program yang diterbitkan khusus dengan berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM.

“Saluran ini juga akan menyiarkan berita mengenai dunia pendidikan, porgram bercorak didik hibur (edutainment) serta kandungan yang dihasilkan oleh murid.

“Selain itu, program antarabangsa yang bersesuaian akan turut disiarkan.”

Demikian kenyataan KPM memaklumkan komitmennya untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan akses kepada pendidikan berkualiti.

Katanya, saluran berkenaan juga akan menjadi platform untuk memperkasakan budaya ilmu, menerapkan nilai-nilai murni dan mewujudkan masyarakat berinformasi.

Justeru, KPM turut memberitahu saluran DidikTV boleh diakses menerusi rangkaian TV percuma ataupun berbayar yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pelancaran DidikTV KPM akan disempurnakan oleh Perdana Menteri,  pada hari pertama siaran jam 8 pagi.

“DidikTV KPM boleh ditonton menerusi saluran 107 di MyTV, salura 147 di Astro dan saluran ntv7 di TV Unifi.

“Bagi set TV Digital Bersepadu (iDTV) yang menggunakan antena, carian saluran boleh dilakukan menerusi penalaan automatik,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kanannya, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jiddin memaklumkan saluran DidikTV itu merupakan kali pertama diperkenalkan oleh kementeriannya.

“DidikTV KPM adalah satu lagi usaha berterusan KPM dalam memberikan akses pendidikan berkualiti untuk murid seluruh negara.

“KPM sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik,” ujarnya.

Sebagai makluman, KPM sebelum ini menangguhkan sesi persekolahan bagi tahun 2021 yang sepatutnya bermula pada 20 Januari lalu.

Berikutan peningkatan kes pandemik Koronavirus (Covid-19), sesi pembelajaran dalam kelas atau secara bersemuka ditangguhkan dengan melaksanakan PdPR. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button