Politik

PRN bakal penentu akar umbi terima DAP atau tidak – Ismail Sabri

KEPUTUSAN pilihan raya di enam negeri bakal menjadi penentu sama ada akar umbi UMNO boleh menerima kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang disertai DAP atau sebaliknya.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penilaian melalui PRN perlu memandangkan kerjasama dengan DAP dibuat secara mengejut iaitu seminggu selepas keputusan PRU15 berikutan dua parti itu mempunyai sejarah panjang permusuhan.

“Dari segi kajian kita tak ada, kita (UMNO) dengan DAP hubungan tidak pernah bersama. Perjuangan kita berbeza dengan UMNO dan DAP…macam kalau laluan satu ke kanan satu kiri, seminggu selepas PRU kita bentuk kerajaan bersama.

“Terkejut itu memang terkejut, soal penerimaan (akar umbi) sampai hari ini kita tak buat kajian, tapi mungkin PRN nanti akan memberi gambaran.”

Ismail Sabri juga memberitahu, perjuangan dan sikap orang UMNO terhadap DAP amat jelas apabila mereka tidak boleh menerima parti itu.

“DAP sejak dahulu lagi tidak boleh menerima UMNO tetapi tiba-tiba seminggu selepas pilihan raya, kita kerjasama, sebab itu saya katakan kawin kena bercinta dulu, sekurangnya kita kenal sudah lama,” katanya kepada media di program beli belah baju raya bersama 41 penghuni Rumah Amal Asnaf Al-Barakh, Keramat.

Beliau berkata, demikian ketika ditanya sejauh mana akar umbi UMNO boleh menerima kerjasama dengan DAP selepas empat bulan membentuk kerajaan perpaduan.

Katanya, berbanding kerjasama dengan PAS sebelum ini, ia dibuat lebih lama melalui Muafakat Nasional (MN) dan mempunyai struktur jawatankuasa dari peringkat atasan sehingga bawahan, berbanding PH.

“Dengan PAS, kita ada jawatankuasa sehingga di peringkat bahagian kerjasama UMNO-PAS, kalau bulan puasa boleh buat majlis berbuka bersama…ibadah qurban bersama, ia tak sama (kerjasama dengan PH),” katanya.

Mengulas kenyataan Naib Pengerusi DAP Perak, Aziz Bari bahawa orang Malayu lebih menyokong Perikatan Nasional (PN) berbanding UMNO, Ismail Sabri berkata, itu pandangan pemimpin DAP sebab parti itu ada penilaian sendiri.

“Tengok keputusan pilihan raya, kita tak tahu itu mungkin andaian dia seperti itu, dan UMNO bukan berdiam diri sahaja, teruskan bekerja pastikan kemenangan dan kita ada kepimpinan baharu, ada perancangan baharu, itu andaian Aziz.” katanya lagi.

Artikel berkaitan > Ismail Sabri santuni 41 anak-anak Rumah Amal Asnaf Al Barakh

(Visited 642 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button