PRK Kimanis: Saya pilih Warisan
Analisis
Oleh Gunawan AS
KEBANYAKAN penduduk di Semenanjung Malaysia, tidak peduli pun tentang isu PSS iaitu Pas Sementara Sabah dan pembangunan.
Sebabnya PSS tidak melibatkan mereka dan pembangunan sentiasa dikecapi di semenanjung kerana dekat dengan pusat pemerintahan.
Penduduk di Bukit Bintang contohnya tidak hairan dengan pembangunan kerana ia adalah lubuk emas yang mahu digali oleh semua orang.
Namun bagi penduduk di Sabah khususnya Kimanis, pembangunan adalah perkara utama.
Isu asas seperti air bersih, jalan raya, bekalan elektrik dan pendidikan belum dituntaskan sehingga hari ini.
Sekolah masih lagi sangat dhaif, begitu juga jalan, bekalan elektrik dan air.
Saya tertarik bila Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal bersungguh-sungguh kini untuk membangunkan Sabah walaupun konsep Sabah untuk Sabah agak mengerikan.
Shafie tidak lagi mahu mengeksport kayu ke luar negara, sebaliknya mahu membina industri perabot dan dieksport.
Selain memperjuangkan lebih banyak hasil petroleum dikembalikan ke Sabah, Shafie juga mahu membangunkan pelancongan dan pertanian di Sabah.
Pada masa yang sama beliau mahu menyelesaikan sepenuhnya masalah pendatang tanpa izin dengan melaksanakan PSS.
PSS ini adalah dokumen yang akan diberikan kepada pemegang dokumen pelarian perang dari Filipina. Mereka dibenarkan tinggal selama tiga tahun di Sabah sebelum dihantar pulang.
Dengan pendaftaran PSS ini juga akan memboleh data dikumpul dan mereka akan memegang dokumen yang mempunyai ciri keselamatan bagi mengelakkan daripada dipalsukan, berbanding dokumen pada masa ini hanya sekeping kertas sahaja.
Bezanya PSS sekeping kertas itu ialah PSS tidak diiktiraf oleh UNHCR iaitu mengiktiraf pemegang dokumen itu sebagai pelarian perang.
Pelarian perang bermakna anak-anak mereka tidak layak mendapat kerakyatan.
PSS pula dokumen yang tidak diiktiraf oleh UNCHR dan sudah tentu selepas menetap tiga tahun mereka akan melahirkan anak dan secara automatik anak-anak itu akan menjadi rakyat Sabah.
Itulah yang dibimbangi oleh penduduk Sabah. Namun jika dapat diselesaikan isu tersebut, PSS adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin yang berlambak di Sabah.
Peluang ekonomi di Sabah telah menjadi magnet kepada penduduk negara berhampiran.
Bagaimanapun tidak lama lagi magnet itu akan semakin luntur apabila ada pusat pertumbuhan baharu iaitu di Kalimantan yang bakal menjadi ibu negara Indonesia bagi menggantikan Jakarta dalam tempoh tiga tahun.
Perlahan-perlahan pendatang asing ini akan bergerak ke lokasi berkenaan kerana peluang yang dihidangkan. Ini akan membolehkan isu pendatang asing ini reda dan dengan ada PSS ia akan memudahkan pemantauan dibuat.
Selepas membuat pembentangan sebahagian fakta yang saya kutip, saya tidak mahu membuat bacaan selamat, sebaliknya memilih kemenangan akan berpikah kepada Warisan di Kimanis.
Sebab bagi saya penduduk Sabah terutama Kimanis akan memilih pembangunan. Untuk memastikan kelancaran pembangunan mereka perlu memilih parti yang memerintah iaitu Warisan.
Warisan juga disokong oleh kerajaan pusat Pakatan Harapan. Isu PSS lebih kepada isu pelaksanaan dan penguatkuasaan. Jika dia diperkemaskan masalah dapat diminimumkan.
Lagipun Shafie bukan orang jahat, jadi berilah peluang dia berkhidmat untuk rakyat Sabah dengan lancar. Sabah stabil akan menyumbang kepada kestabilan negara cara keseluruhannya.
Barisan Nasional tidak perlu kecewa jika kalah di Kimanis kerana ia hanya satu lagi pilihan raya kecil bagi mengisi kekosongan jawatan wakil rakyat.
Yang penting barisan kepimpinan UMNO negeri yang baharu telah mendapat pengalaman selepas mengisi kekosongan ditinggalkan oleh pemimpin-pemimpin senior yang melompat parti.
Pengalaman ini berguna untuk mereka pakai pada pilihan raya umum kelak yang dijangka akan berlaku tidak lama lagi.